PH masih buntu tentukan calon PM

45

17 JUN: Pakatan Harapan Plus (PH Plus) yang terdiri daripada PKR, DAP, Parti Amanah Negara (Amanah), Parti Warisan Sabah (Warisan) dan kumpulan Tun Dr Mahathir Mohamad dijangka mengumumkan calon Perdana Menteri mereka dalam masa terdekat.

Malaysia Gazette yang memetik laporan Sinchew Daily melaporkan, setakat ini, PH dikatakan menyokong Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri.

Pada masa yang sama, Dr Mahathir mungkin akan dinamakan sebagai Menteri Mentor.

Namun, difahamkan Dr Mahathir masih mahu menjadi Perdana Menteri manakala Anwar ditawarkan jawatan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan.

PH dipercayai tidak bersetuju dengan cadangan Dr Mahathir dan sehingga kini, belum ada keputusan muktamad tentang siapa calon Perdana Menteri yang akan diketengahkan oleh PH+.

Sumber Sinchew Daily turut memberitahu, hasrat Dr Mahathir untuk menjadi Perdana Menteri semula selama enam bulan disokong oleh Warisan.

Terdapat kemungkinan rundingan akan berakhir dengan gagal sekiranya Anwar dan Dr Mahathir enggan bertolak ansur dalam soal menentukan calon Perdana Menteri.

Kegagalan itu sekali gus boleh meranapkan impian PH+ untuk menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang semakin kukuh kedudukannya selepas lebih dua bulan mentadbir negara.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.