Perpaduan Melayu, Islam teras keharmonian negara

241

17 JUN: Pengukuhan perpaduan orang Melayu dan umat Islam melalui Perikatan Nasional (PN) turut menyumbang kepada keharmonian negara.

Pesuruhjaya PAS Pahang, Rosli Abdul Jabar berkata, permuakatan yang ditunjukkan oleh semua parti dalam PN seterusnya akan menjadi ikutan masyarakat berbilang kaum.

Sehubungan itu, beliau memberitahu, pemimpin-pemimpin PN seharusnya bersatu kerana gerak-geri mereka sentiasa diperhatikan rakyat.

ROSLI ABDUL JABAR

“Kita sebagai pemimpin seharusnya menunjukkan contoh yang baik. Jika kita berkelahi maknanya kita gagal menjadi contoh kepada rakyat.

“Walaupun kita dapat memperkukuhkan Melayu dan Islam, permuafakatan ini penting demi keharmonian pelbagai kaum dan agama di negara ini,” katanya ketika dihubungi PN BBC Portal, hari ini.

Rosli mengulas saranan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Negeri Sembilan, Tan Sri Dr Rais Yatim semalam agar pemimpin-pemimpin Bersatu, UMNO dan PAS bermuafakat
dalam memperkukuhkan kepimpinan Islam dan Melayu di negara ini.

Sementara itu, Setiausaha Bersatu Pahang, Mohd Yazid Mohd Yunus berkata, pihaknya sentiasa bersedia bekerjasama dengan UMNO dan PAS bagi memperkasakan orang Melayu dan umat Islam.

MOHD YAZID MOHD YUNUS

Beliau menambah, perkara itu memang perlu dilakukan memandangkan ketiga-tiga parti berada di bawah payung PN.

“Permuafakatan ini sangat penting dan kami di sini sentiasa bekerjasama bersama UMNO dan PAS bagi kita memperkasakan Islam dan Melayu di negeri ini,” jelasnya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.