Peguam Negara boleh mula prosiding komital terhadap Malaysiakini

132

17 JUN: Panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan hari ini membenarkan permohonan ex-parte yang difailkan Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun bagi memulakan prosiding komital terhadap Mkini Dotcom Sdn Bhd dan Ketua Editor portal berita, Malaysiakini.

“Kami bersetuju wujud kes prima facie bagi penghinaan (mahkamah),” kata Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Rohana Yusuf yang mengetuai panel itu.

Memetik laporan BERNAMA, beliau kemudian menetapkan 2 Julai ini untuk pendengaran prosiding komital itu.

Hakim Rohana yang bersidang bersama Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Mohd Zawawi Salleh dan Puan Sri Zaleha Yusof juga menetapkan 25 Jun bagi pengurusan kes komital itu.

Mkini Dotcom ialah pengendali portal berita tempatan, Malaysiakini.

Peguam Kanan Persekutuan Alice Loke Yee Ching yang mewakili Peguam Negara berhujah Malaysiakini membenarkan komentar untuk disiarkan di bahagian komen artikel yang disiarkan pada 9 Jun dalam Malaysiakini bertajuk, CJ orders all courts to be fully operational from July 1.

Beliau berhujah komen itu mengandungi kenyataan yang menyinggung perasaan.

Yee Ching berkata, Peguam Negara menawarkan diri sebagai pemohon dalam perkara itu kerana beliau penjaga kepentingan awam, sambil menambah itu demi kepentingan masyarakat kerana kenyataan yang menyinggung perasaan dibuat terhadap badan kehakiman.

Yee Ching berkata, kenyataan itu ialah serangan secara tidak langsung terhadap Ketua Hakim Negara, hakim dan badan kehakiman secara keseluruhan dan akan menyebabkan keyakinan orang ramai terhadap badan kehakiman, terhakis.

Beliau juga berkata, kenyataan itu mendedahkan badan kehakiman terhadap skandal dan penghinaan masyarakat.

Yee Ching juga berhujah, wujud kes prima facie bagi penghinaan itu, dan menambah berdasarkan Seksyen 114A Akta Keterangan 1950, mereka (responden) dianggap menerbitkan kenyataan itu.

Seksyen 114A (1) menyatakan bahawa seseorang yang namanya, foto atau nama samaran muncul dalam apa-apa penerbitan yang menggambarkan dirinya sebagai pemunya, penganjur, pentadbir, editor atau penyunting, atau dengan apa-apa cara menerbitkan atau menyiarkan semula penerbitan, dianggap menerbitkan atau menerbitkan semula kandungan penerbitan itu kecuali yang sebaliknya, terbukti.

Sementara itu, peguam A Surendra Ananth yang mewakili responden, berkata responden menghantar representasi kepada Peguam Negara petang semalam bagi pertimbangan untuk menarik balik kebenaran permohonan itu dan memohon mahkamah memberi penangguhan singkat.

Bagaimanapun, Yee Ching berkata, Peguam Negara mempertimbang permintaan itu dan ingin meneruskan permohonan berkenaan.

Surendra memberitahu pemberita, beliau akan berunding dengan anak guamnya sama ada untuk memfailkan permohonan bagi mengetepikan kebenaran prosiding komital itu atau meneruskan prosiding itu.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.