Kalau PN Mungkir Janji Bagaimana Pula Janji PH?

327

Tun Dr. Mahathir Mohamad nampaknya tidak dapat menyembunyikan keresahan dan ‘iri hati’ beliau terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Bekas Pengerusi Bersatu itu, tidak menunjukkan kemarahannya lagi terhadap Muhyiddin tetapi memilih jalan lain bagi menggambarkan penggantinya seorang yang mengharapkan sokongan dengan memberi jawatan kepada ahli Parlimen dan pemimpin parti yang menyokongnya dalam Perikatan Nasional (PN).

Sebelum ini dalam artikel menerusi blog CheDet.cc, beliau membangkitkan PN berada telur dihujung tanduk berikutan enam pemimpin UMNO sedang menghadapi perbicaraan dan sekiranya didapati bersalah maka jumlah kerusi dibawah PN akan berkurang.

Tidak sampai seminggu artikel tersebut dimuat naik dan semalam artikel terbaharu mengulangi kerajaan diterajui Muhyiddin amat malang bagi rakyat yang telah kalahkan parti kleptokrat, tetapi sekarang sekali lagi mendapat Kerajaan Kleptokrat melalui pintu belakang.

Malah, sikap luar biasa Tun turut dihidu Datuk Seri Najib Tun Razak apabila bekas Perdana Menteri itu turut menyentuh mengenai Tun dalam akaun Facebook miliknya.

Najib secara sinis mengingatkan Tun tentang beberapa slogan sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu iaitu ‘Selamatkan Malaysia’, ‘Selamatkan Melayu’, ‘Kelptokrat’ dan sebagainya.

Kata Ahli Parlimen Pekan itu, bekas Perdana Menteri ketujuh itu tuduh kerajaan PN sebuah kerajaan yang mudah mungkir janji.

Maka Najib mengingatkan semula Tun tentang slogan-slogan lama seperti ’10 janji 100 hari’,’mansuhkan tol’, ‘mansuhkan AES’, mansuhkan PTPTN, ‘BRIM RM2,00 dikekalkan’ atau ‘manifesto bukan kitab suci’?.

Dr. Mahathir seharusnya melihat kelemahan pemimpin PH sendiri ketika mengemudi negara selama 22 bulan lalu.

Rakyat telah memerhati dan menilai kesungguhan Muhyiddin bersama barisan Kabinet beliau bertungkus lumus menangani pandemik COVID-19 sehingga kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), 18 Mac lalu.

Selama 100 hari pentadbiran Ahli Parlimen Pagoh itu mengemudi negara apakah beliau tidak mendengar suara rakyat?

Ternyata rakyat lebih menyenangi langkah Presiden Bersatu itu sehingga mendapat gelaran Abah.

Dalam kekalutan negara berdepan pandemik virus itu, blok pembangkang masih berlumba siapakah bakal menjadi Perdana Menteri seterusnya.

Seperti tiada kesudahan perebutan jawatan tertinggi negara ini masih menjadi rebutan dalam kalangan pemimpin PH walaupun sudah hilang kuasa akibat kesilapan sendiri.

Ada segelintir pemimpin menyokong Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan ada pula kata jawatan itu belum diputuskan oleh segelintir pemimpin lain.

Cukuplah 22 bulan mereka ‘berpolitik’ sehingga rakyat muak dengannya.

Rakyat tidak lupa bagaimana krisis politik negara yang berlaku akhir Februari lalu begitu mendebarkan.

Suasana itu mengundang rasa tidak selesa dikala negara berdepan COVID-19 yang telah dijangkiti malah membawa maut kepada masyarakat di seluruh dunia.

Kini kerajaan PN sedang menjalankan tanggungjawabnya bagi memulih dan merancakkan kembali ekonomi negara.

Rakyat memerhati apa yang PH sedang lakukan tetapi mereka mahukan PN terus mentadbir kerana inilah kerajaan yang mendengar suara rakyat. – MOHD. FAIRUZ YUSOF

Get real time updates directly on you device, subscribe now.