Jangan Salah Guna Ubat Dexamethasone

74

17 JUN: Orang ramai dinasihatkan agar tidak menyalah guna atau mengambil ubat Dexamethasone tanpa preskipsi daripada doktor untuk merawat wabak COVID-19.

Memetik laporan BERNAMA, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, ini kerana ubat berkenaan mempunyai kesan sampingan dan perlu diimbangi dengan keperluan penggunaannya bagi penyakit tertentu.

“Salah satu kesan sampingannya adalah sindrom cushing, penipisan kulit, dan beberapa siri kesan sampingan seperti kehilangan keupayaan tulang serta kelemahan otot, bergantung kepada tempoh berapa lama pengambilannya,” katanya pada sidang akhbar perkembangan COVID-19 di Putrajaya hari ini.

Dr. Noor Hisham memberitahu, Dexamethasone adalah sejenis ubat steroid yang digunakan untuk mengurangkan radang dalam pelbagai penyakit, termasuk kepada pesakit kanser, dan Kementerian Kesihatan Malaysia mengambil maklum perkembangan awal ujian klinikal ubat Dexamethasone dalam merawat COVID-19 yang dikenali sebagai Recovery Trial di University of Oxford itu.

“Hasil dapatan awal Recovery Trial menunjukkan ubat ini dapat mengurangkan risiko kematian iaitu sehingga satu pertiga dalam kalangan pesakit COVID-19 yang mempunyai gejala penafasan yang serius, terutamanya mereka yang berada di tahap lima dan memerlukan bantuan pernafasan.

“Namun, ujian klinikal ini juga mendapati ubat ini tidak membantu dalam rawatan pesakit COVID-19 yang hanya mempunyai gejala ringan atau yang tidak memerlukan bantuan pernafasan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, ubat ini hanya digunakan di wad Unit Rawatan Rapi, maksimum empat miligram dan lima hari sahaja dalam kalangan pesakit kritikal COVID-19 tahap lima. – AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.