Hentikan spekulasi tukar kerajaan – Hishammuddin

123

17 JUN: Semua pihak perlu berhenti daripada membuat sebarang spekulasi mengenai pertukaran kerajaan atau kemungkinan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan diadakan dalam masa terdekat.

Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, banyak lagi perkara lebih penting yang perlu dibuat dengan kerjasama semua pihak sama ada pemimpin dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) atau pembangkang.

Ahli Parlimen Semberong itu berkata, antara masalah negara yang perlu dihadapi bersama termasuk isu pemulihan ekonomi, pendidikan dan sosial seperti penggangguran yang timbul berikutan penularan wabak COVID-19, sejak Mac lalu.

“Ini kerana kita akan menghadapi masalah lebih besar jika gagal menangani pelbagai isu termasuk menangani penularan wabak COVID-19, ekonomi dan anak-anak yang bakal kembali bersekolah.

“Jadi cukup-cukuplah kita berdebat soal politik dan membuat sebarang spekulasi mengenai perubahan kerajaan atau pun PRU-15,” katanya dalam sidang media selepas menyertai dan berucap Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Luar ASEAN-Russia secara dalam talian di Wisma Putra, hari ini.

Hishammuddin menambah, beliau tidak akan memberikan sebarang kenyataan kepada media mengenai PRU-15 atau perubahan kerajaan yang tidak mungkin akan berlaku dalam masa terdekat.

“Saya secara peribadi kurang gembira dengan landskap politik di Malaysia sekarang kerana terlalu banyak spekulasi dan khabar angin yang tidak benar,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Hishammuddin berkata beliau gembira kerana berjaya memulihkan semua hubungan dua hala dengan beberapa negara dunia terutama China, India dan Timur Tengah selepas menerajui Wisma Putra, sejak kira-kira 100 hari lalu. – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.