Anwar tak layak diangkat hero ekonomi negara

158

17 JUN: Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak layak diangkat sebagai hero ekonomi ekoran pertumbuhan pesat ekonomi negara yang berlaku mulai awal 1990-an dahulu.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, ekonomi negara ketika itu berkembang pesat selepas Perjanjian Plaza dimeterai pada 1985.

Menurut beliau, perjanjian tersebut menyebabkan nilai yen Jepun meningkat secara mendadak.

“Oleh sebab nilai matawang berganda, syarikat-syarikat Jepun terpaksa memindah kilang-kilang mereka ke negara-negara ASEAN masa itu.

“Pelaburan Jepun yang amat besar dalam masa yang singkat ketika itu menaikkan pertumbuhan ekonomi negara-negara ASEAN secara serentak.

“Bukan Malaysia sahaja yang menikmati pelaburan dan pertumbuhan ekonomi pesat masa itu (tengok graf),” katanya dalam hantaran Facebook miliknya, hari ini.

Najib mengulas tentang dakwaan penyokong Pakatan Harapan (PH) kononnya Anwar merupakan hero ekonomi negara dengan bersandarkan kepada lebihan bajet mulai 1993 hingga 1997 ketika menjadi Menteri Kewangan dahulu.

Walau bagaimanapun, beliau berkata, kerajaan mengambil langkah yang salah ketika Malaysia terkena tempias krisis ekonomi Asia pada 1997 di mana ketika itu, Anwar masih lagi Menteri Kewangan.

“Kerajaan masih tegas untuk mengekalkan lebihan bajet untuk tahun itu. Bukan itu sahaja. Malah kerajaan masa itu turut menaikkan kadar faedah pinjaman bank dalam masa yang amat singkat kepada tahap yang terlalu tinggi – iaitu melebihi 12 peratus.

“Adalah tidak masuk akal untuk masih menegaskan lebihan bajet untuk sedut wang dari pihak swasta dan menaikkan kadar faedah menjadi begitu tinggi pada masa krisis ekonomi memberi tekanan besar kepada syarikat tempatan,” jelasnya.

Najib memberitahu, tanggungjawab utama kerajaan adalah untuk melindungi ekonomi negara dan membantu syarikat-syarikat supaya rakyat tidak hilang pekerjaan,

Akibat langkah kerajaan tahun 1997 yang salah, Najib berkata banyak perniagaan dan bank masa itu lingkup atau terpaksa diselamatkan oleh kerajaan.

“Rakyat biasa juga menderita dengan ekonomi yang teruk dan kadar faedah pinjaman rumah dan kereta yang amat tinggi manakala semua penjawat awam dipotong gaji 10 peratus.

“Selepas Anwar dipecat, kerajaan pun U-turn dan terpaksa menaikkan defisit kerajaan untuk menyelamatkan ekonomi. Akibatnya, defisit kerajaan pada tahun-tahun selepas 1997 jauh lebih tinggi dan melebihi segala lebihan bajet yang dikumpul pada tempoh 1993 hingga 1997,” katanya.

Najib juga menjelaskan apa yang berlaku pada krisis ekonomi tahun 2008 di mana Malaysia dilanda krisis ekonomi dunia adalah jauh berbeza dengan krisis ekonomi Asia tahun 1997.

“Masa itu, kerajaan (masa saya Menteri Kewangan dan seterusnya Perdana Menteri) menaikkan defisit kerajaan untuk menyuntik wang ke dalam ekonomi tempatan dan menurunkan kadar faedah ke tahap paling rendah dalam sejarah negara.

“Hasilnya ialah syarikat-syarikat tempatan terpelihara dan kebanyakan Rakyat langsung tak merasa impak krisis ekonomi walaupun ancaman krisis ekonomi dunia tahun 2008 adalah berganda lebih besar berbanding ancaman krisis ekonomi Asia tahun 1997.

“Selepas itu, kerajaan masa saya PM turunkan defisit negara untuk 8 tahun berturut-turut dan dirancang akan menjadi bajet seimbang pada tahun 2020,” katanya.

Namun, Najib berkata, selepas PH menang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), berkata mereka naikkan semula defisit kerajaan pada 2018 dari 2.8 peratus ke 3. peratus dan 3.4 peratus untuk 2019.

“Akibatnya, trend menurun defisit kerajaan U-turn menjadi trend menaik di bawah rejim Gagalkrasi PH manakala trend pertumbuhan ekonomi negara menaik juga U-turn menjadi trend ekonomi negara semakin merosot.

“Itulah cerita sebenarnya apa yang telah berlaku. Sebab itu, bakal PM5/6/7/8/9 dan gengnya tak berani menjawab soalan-soalan ekonomi saya hari Ahad lalu,” katanya. – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.