Tuduhan Sarawak Report Bohong, Berniat Jahat

1,270

16 JUN: Laporan portal Sarawak Report bahawa Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mendapatkan rawatan kanser di luar negara semasa tempoh kuarantin diri adalah satu pembohongan dan berniat jahat.

Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan di sini berkata, Perdana Menteri menjalani perintah kuarantin di rumah selama 14 hari bermula 22 Mei lalu mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Menurut kenyataan itu,ia susulan selepas seorang daripada pegawai yang hadir mesyuarat pasca-Kabinet dipengerusi Perdana Menteri disahkan positif COVID-19.

“Justeru dakwaan Sarawak Report bahawa Perdana Menteri melanggar perintah kuarantin dengan keluar rumah, apatah lagi terbang ke luar negara adalah sama sekali tidak berasas dan hanya rekaan penulis.

“Penulis dan portal Sarawak Report perlu bertanggungjawab atas tuduhan dilemparkan kepada Perdana Menteri dengan mengemukakan bukti termasuk menamakan pesawat dinaiki, hospital di Singapura dan doktor seperti yang didakwa,” kata kenyataan itu hari ini.

Kenyataan itu menambah, semasa menjalani tempoh kuarantin, Perdana Menteri sentiasa mematuhi arahan tidak keluar rumah.

Semua tugasan rasmi hanya dijalankan dari rumah termasuk mengadakan sidang video dengan Menteri Kanan Pertahanan dan Ketua Pengarah Kesihatan.

Kenyataan itu menegaskan, kegagalan berbuat demikian bermakna laporan yang disiarkan portal itu adalah berniat jahat untuk memburuk-burukkan imej Perdana Menteri.

“Amat malang apabila portal berita itu berubah menjadi perkakas politik bagi menjaja dan menyebarkan fitnah melalui laporan yang tidak berpaksikan kebenaran.

“Fitnah ini merupakan satu gangguan yang tidak perlu ketika negara sedang berhadapan pandemik kesihatan dan cabaran ekonomi yang belum pernah dialami sebelumnya,” katanya.

Beberapa pakar perubatan telah mengesahkan bahawa beliau bebas daripada penyakit kanser dan cukup sihat untuk melaksanakan tugas sebagai Perdana Menteri. – MOHD. FAIRUZ YUSOF

Get real time updates directly on you device, subscribe now.