Syarikat ikhlas sumbang RM2j pada tahfiz: Mubarak

224

16 JUN: Setelah hampir semua saksi memberi keterangan mengesahkan tidak berlaku sebarang tindakan menyalahi undang-undang dalam transaksi, pihak pendakwaan kes membabitkan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi cuba mempersoalkan kewibawaan penyumbang derma pula.

Peguambela Zahid, Hamidi Mohd. Noh berkata, saksi pendakwaan, Mubarak Hussain Akhtar Husin sudah memberitahu mahkamah bahawa sumbangan peribadinya sebanyak RM2juta kepada Tahfiz Imtiaz Ulul Albab pada 2016 adalah ikhlas dan tidak mempunyai tujuan tersirat.

Tetapi pihak pendakwaan sebaliknya mempersoalkan hubungan Mubarak dengan Zahid serta kontrak yang diperoleh syarikatnya dari Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Mubarak ketika memberi keterangan memjelaskan syarikatnya membeli sebuah syarikat yang mendapat kontrak KDN pada 2002.

Mubarak mengakui menyerahkan cek bernilai RM2juta kepada Tetuan Lewis & Co, yang merupakan pemegang amanah sekolah Tahfiz Imtiaz Ulul Albab di Masjid Tanah, Melaka.

“Tahfiz ini diasaskan oleh Zahid dan bergantung 100 peratus kepada sumbangan orang ramai. Ia tak dapat sokongan kewangan daripada mana-mana agensi kerajaan.

“Apabila Zahid di bawa ke mahkamah, kita dapat lihat pemberi-pemberi sumbangan semua kena panggil. Kita tengok, naratifnya sekarang, pemberi sumbangan dijadikan isu sedangkan mereka beri sumbangan dengan ikhlas.

“Dalam hal ini kita akan terus membersihkan nama Zahid. Beliau sudah mengaku tidak bersalah dan wajib dibicara. Rakyat kena faham, Inilah prosesnya. Sama ada dia bersalah atau tidak, biar mahkamah yang menentukan. Bukan rakyat,” kata Hamidi kepada pemberita di luar kamar mahkamah.

Ketika memberi keterangan, Mubarak memberitahu mahkamah, dia membeli syarikat Seri Jaya Perkasa Sdn Bhd pada 2002 dan pada ketika itu syarikat berkenaan mempunyai kontrak dengan KDN.

Menjawab soalan pendakwa, Mubarak menegaskan ketika pembelian itu dia tidak mengenali Zahid.

“Saya cuma kenal beliau pada satu majlis di Kampung Baharu pada 2008,” katanya.

Perbicaraan bersambung esok.– Oleh NOOR HASILAH ISMAIL

Get real time updates directly on you device, subscribe now.