Peruntukan RM461 juta perkasa ekonomi pekebun kecil

116

16 JUN: Program Pembangunan Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) dengan peruntukan RM461 juta tahun ini mampu memperkasakan ekonomi lebih 500,000 pekebun kecil di seluruh negara.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Dr Abd Latiff Ahmad berkata, pelbagai inisiatif dilaksanakan bagi tujuan berkenaan.

“Antara program utama yang dilaksanakan adalah pembangunan kawasan tanam semula dengan peruntukan RM261 juta, peningkatan produktiviti dan pembangunan pekebun kecil RM38.2 juta dan pembangunan semula hasil baharu dengan peruntukan RM20 juta,” katanya dalam kenyataan media, malam tadi.

Beliau menambah, RISDA turut meneruskan program mempelbagaikan pendapatan dengan menyalurkan bantuan keusahawanan kepada pekebun kecil melalui aktiviti ekonomi tambahan dengan peruntukan RM50.3 juta.

Selain itu, Abdul Latiff memberitahu, program agromakanan seperti ternakan, tanaman jangka pendek dan panjang turut dilaksanakan untuk memberi sumber pendapatan kedua kepada pekebun kecil.

“Bantuan khas Hari Raya Aidilfitri 2020 COVID-19 bernilai RM300 turut diberi secara sekali bayar kepada 291,904 pekebun kecil Risda yang terjejas pendapatan akibat penularan wabak COVID-19,” jelasnya.

RISDA juga membayar dividen sebanyak RM42.7 juta kepada 31,436 orang pekebun kecil yang layak dan sebanyak RM12.8 juta daripada jumlah itu dibayar kepada 16,080 peserta Rancangan Tanaman Baharu Berkelompok (RTBB) dan RM29.9 juta dibayar kepada 15,356 orang peserta Tanam Semula Komersial (TSK).

Selain itu, RISDA menyalurkan Bantuan Musim Tengkujuh 2019 berjumlah RM164.7 juta dan bantuan yang sama akan disalurkan kepada 274,639 orang pekebun kecil tahun ini.

Sementara itu, Abd Latiff mengumumkan pelantikan Ketua Pengarah RISDA yang baharu, Abdullah Zainal @ Deraman yang berkuat kuasa Rabu bagi menggantikan Datuk Wan Ahmad Shabri Zainuddin Wan Mohamad yang menamatkan kontrak perkhidmatannya hari ini.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.