Kemenangan keenam menanti BN di Chini

104

16 JUN: Barisan Nasional (BN) mampu meneruskan rekod cemerlang dengan memenangi pilihan raya kecil (PRK) keenam di Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini pada 4 Julai ini.

Memetik laporan UMNO Online, keyakinan itu disuarakan oleh Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan.

Pada masa yang sama, beliau menasihatkan jentera parti agar tidak terlebih yakin ekoran terdapat kemungkinan Pakatan Harapan (PH) tidak meletakkan calon untuk bertanding.

“Menang di Cameron Highland, menang di Rantau, Tanjung Piai, Kimanis dan Semenyih maka ini siri yang keenam kita ingin meneruskan siri kemenangan.

“Jadi dengan lain perkataan kemenangan di Chini ini harapan kita ialah menang dengan majoriti berlipat kali ganda dan ini sasaran kita mudah-mudahan dapat dicapai,” katanya.

Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian memberitahu, jentera parti perlu membuat persiapan yang rapi agar kemenangan memihak kepada BN jika ada pertandingan.

Malah, beliau berpuas hati dengan persediaan semua pusat daerah mengundi yang melebihi sasaran yang ditetapkan BN Pahang dan UMNO Bahagian Pekan.

“Ia membuktikan bahawa jentera di sini sduah bersedia dan mereka gembira dengan ‘Muafakat Ke Arah Kestabilan’ yang merupakan cogan kata kita,” jelasnya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.