Jangan pertikai keputusan Agong lantik PM

463

16 JUN: Tindakan pihak tertentu mempertikaikan jumlah sokongan Ahli Parlimen terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika beliau dilantik sebagai Perdana Menteri boleh dianggap seperti menghina titah Yang di-Pertuan Agong.

Itu kenyataan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah terhadap pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang mendakwa mereka mempunyai cukup majoriti membawa usul undi tidak percaya kepada Muhyiddin pada sidang Dewan Rakyat nanti.

Beliau berkata, walaupun Perikatan Nasional (PN) bukan sempurna tetapi rakyat mahukan sebuah kerajaan yang stabil dalam mengemudikan negara.

“Rakyat memerlukan kerajaan yang stabil dan dapat berkhidmat untuk negara.

“PN bukanlah sempurna namun kami berjaya membuktikan setakat ini kami mampu menjadi kerajaan,” katanya seperti dilaporkan Malaysia Gazette yang memetik wawancara bersama Sinchew Daily.

Mengenai tindakan terhadap mereka yang mendakwa segelintir ahli Parlimen PN akan ‘melompat’ ke PH, Saifuddin berkata, mereka bebas meluahkan pendapat tetapi haruslah berhati-hati.

“Ada batasannya walaupun sistem demokrasi membenarkan kebebasan bersuara. Ia adalah seperti kebebasan media, tetapi akan jadi lain kalau ia adalah berita palsu,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.