Bil elektrik tinggi: Diskaun pukal reda keresahan rakyat

174

16 JUN: Tenaga Nasional Berhad (TNB) disarankan supaya melaksanakan pemberian diskaun secara pukal bagi meredakan keresahan rakyat yang tertekan akibat bil elektrik yang terlalu tinggi ketika ini.

Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan berkata, langkah itu boleh dilakukan berdasarkan bacaan bil terkini tanpa formula pengiraan yang rumit.

Beliau percaya inisiatif tersebut boleh diambil kerajaan untuk membantu rakyat dalam jangka pendek.

“Kami juga menyarankan supaya pihak TNB melakukan penerangan secara terus menerus berkenaan pengiraan bil elektrik pengguna supaya tidak timbul kekeliruan dalam kalangan mereka.
“Sebarang aduan yang dibuat oleh pengguna perlu diteliti sebaik mungkin untuk mengelakkan pengguna daripada rasa tertipu dan diabaikan,” katanya dalam kenyataan media, semalam.

Semalam, Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah menyatakan, kementeriannya sedang meneliti secara terperinci penjelasan TNB berkaitan isu bil elektrik yang menjadi rungutan rakyat.

Shahril juga yakin pihak-pihak berkaitan khususnya Kementerian Tenaga dan Sumber Asli mengambil maklum berkaitan hal tersebut dan mempunyai kebijaksanaan dalam mencari penyelesaian terhadap isu tersebut.

“Dalam hal ini, kami juga amat menghargai tindakan Pengerusi TNB, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Shamsul Anuar yang proaktif terhadap keluhan rakyat,” jelasnya. – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.