PM lancar papan pemuka digital Laksana

96

15 JUN: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin melancarkan papan pemuka digital yang dibangunkan oleh Unit Pelaksanaan Dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (Laksana) sempena lawatan kerja rasminya ke unit berkenaan di Kementerian Kewangan di Putrajaya, hari ini.

Perdana Menteri diiringi oleh Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Timbalan Menteri Kewangan II, Mohd Shahar Abdullah.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Mohd Zuki bin Ali; Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Asri Hamidon dan Pengarah Laksana, Datuk Shahrul Nazri Datuk Abdul Rahim, selain pengurusan tertinggi Kementerian Kewangan dan agensi berkaitan.

Papan Pemuka Digital itu bertujuan untuk memastikan proses pemantauan dan pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) dibuat dengan telus, cepat dan tepat.

Papan Pemuka Digital itu berupaya menghubungkan data daripada 53kementerian dan agensi kerajaan yang terbabit  dalam pelaksanaan langkah di bawah di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 (PRE2020), Prihatin dan Penjana yang keseluruhannya berjumlah RM295 bilion.

Pendekatan itu membolehkan kerajaan bertindak secara dinamik dan segera berdasarkan data raya dalam membuat keputusan, memastikan keberkesanan penyampaian bantuan dan perkhidmatan, serta membuat penghalusan yang perlu bagi memastikan bantuan kerajaan benar-benar diterima oleh kumpulan yang disasarkan.

Pengumpulan data secara berpusat dan langsung yang dipaparkan melalui Papan Pemuka Digital itu adalah hasil kerjasama kementerian dan agensi, selaras dengan usaha kerajaan ke arah e-perkhidmatan sebagai persediaan untuk Revolusi Industri 4.0 serta anjakan menghadapi norma baharu. – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.