Isa Samad dilepas tuduhan pecah amanah

73

16 JUN: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini melepaskan bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad daripada tuduhan pecah amanah berhubung pembelian sebuah hotel bernilai RM160 juta di Kuching, Sarawak.

Walau bagaimanapun, beliau perlu membela diri atas sembilan pertuduhan rasuah berjumlah lebih RM3 juta dalam proses pembelian itu.

Memetik laporan Astro Awani, atas nasihat peguam beliau, Mohd Isa memilih untuk memberi keterangan secara bersumpah dari kandang saksi.

Berikutan itu, Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali memutuskan tarikh perbicaraan pada 17, 18, dan 19 Ogos ini.

Pada 14 Januari lalu, pasukan pendakwaan menutup kesnya selepas 15 hari perbicaraan dengan 22 saksi dipanggil memberi keterangan.

Pada 14 Disember 2018, Mohd Isa mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan pecah amanah dan sembilan pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM3 juta bagi meluluskan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites oleh FICSB.

Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu juga didakwa melakukan perbuatan pecah amanah di Tingkat 50, Menara FELDA, Platinum Park, Persiaran KLCC pada 29 April 2014, mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Semua kesalahan menerima rasuah pula didakwa dilakukan di Tingkat 49, Menara FELDA, Platinum Park, Persiaran KLCC antara 29 April 2014 dan 15 Disember 2015.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.