Suara Rakyat Didengari, KeTSA Teliti Penjelasan TNB

101

15 JUN: Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) sedang meneliti secara terperinci penjelasan Tenaga Nasional Berhad (TNB) berkaitan isu bil elektrik yang menjadi rungutan rakyat ketika ini.

Menterinya, Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata, syarikat utiliti itu telah mengemukakan cadangan berkaitan isu bil elektrik kepada pihaknya dalam mesyuarat pagi tadi.

“Mesyuarat membuat keputusan meminta TNB mengemukakan semula cadangan termasuk pandangan KeTSA mengenai isu ini dengan mengambil kira semua aspek dalam mesyuarat sekali lagi esok.

“Ketika ini saya difahamkan TNB sedang perhalusi hasil perbincangan dan mesyuarat bersama pada pagi tadi,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Terdahulu, orang ramai menerusi pelbagai platform termasuk media sosial melahirkan rasa tidak puas hati dengan bil elektrik masing-masing.

Ia berikutan TNB menyambung semula pembacaan meter secara fizikal sejak 15 Mei lalu selepas dihentikan sementara susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu.

Dalam pada itu, Shamsul memberitahu, pihaknya menerima segala pandangan dan kritikan dengan terbuka yang melihatnya sebagai usaha membantu kementeriannya memberikan terbaik untuk rakyat.

“Dalam apa keadaan pun, keutamaan kerajaan dan saya adalah rakyat yang mesti diberikan pembelaan,”katanya. – AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.