Segera siasat pendedahan Mohamed Apandi

670

15 JUN: Pertubuhan Nadi Rakyat Malaysia (Nadi Rakyat) mendesak Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuka segera kertas siasatan berhubung pendedahan bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali mengenai konspirasi yang didakwa membabitkan bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Seri Gopal Sri Ram.

Presiden Nadi Rakyat, Rafi Awang Kechik berkata, perkara itu dilihat serius kerana pendedahan tersebut turut mengaitkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang didakwa merancang menggunakan sistem perundangan negara untuk menjatuhkan Datuk Seri Najib Tun Razak semasa beliau masih menjadi Perdana Menteri.

Menurut beliau, pendedahan ini memerlukan siasatan lanjut dan diberikan perhatian sewajarnya kerana perkara tersebut dipercayai mempunyai elemen yang cenderung kepada perlakuan jenayah.

“Menerusi kenyataan Mohamed Apandi dalam Facebook miliknya, terdapat konspirasi di antara Dr Mahathir dan Gopal bagi menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional (BN) dahulu melalui penangkapan Najib yang ketika itu merupakan seorang Perdana Menteri.

“Pendedahan itu juga turut membongkar mereka turut membentangkan dakwaan-dakwaan secara palsu dan tidak berasas terhadap Perdana Menteri pada masa tersebut,” katanya pada sidang media selepas membuat laporan di Balai Polis Dang Wangi, Kuala Lumpur, hari ini.

Baru-baru ini, Mohamed Apandi melalui Facebook miliknya mendedahkan tentang perancangan Dr Mahathir menggunakan pengaruhnya untuk memperalatkan pihak berkuasa menangkap Najib.

Sehubungan itu, Rafi berharap pihak berkuasa melakukan siasatan terperinci berhubung pendedahan yang dibuat oleh Mohamed Apandi. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.