Proses Bayaran Balik GST 22 Jun ini

65

15 JUN: Pembayaran balik Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang tertangguh sebelum ini akan dibuat mulai 22 Jun ini dan dijangka selesai selewat-lewatnya akhir Disember ini.

Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) telah diarah bagi memastikan bayaran balik GST dapat dilaksanakan.

Menurut beliau, proses pemulangan balik cukai itu tertangguh akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dimana audit syarikat tidak dapat dibuat.

“Kementerian Kewangan bersetuju JKDM melaksanakan kaedah ‘bayar dahulu dan audit kemudian bagi syarikat terpilih’ berdasarkan Akta Cukai Barang dan Perkhidmatan (Pemansuhan) 2018 dan kriteria tertentu.

“Kerajaan berharap keputusan ini dapat membantu aliran tunai pelbagai sektor perniagaan di dalam tempoh pemulihan ekonomi yang amat mencabar ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, usaha itu selaras dengan langkah pemulihan ekonomi yang diperkenalkan melalui Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) seperti diumumkan Perdana Menteri pada 5 Jun lalu. – MOHD. FAIRUZ YUSOF

Get real time updates directly on you device, subscribe now.