Bantuan RM600: Pemandu teksi digesa perbaharui kad pemandu

133

15 JUN: Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong menggesa pemandu teksi yang masih belum memperbaharui kad pemandu masing-masing supaya berbuat demikian bagi memudahkan penyaluran bantuan Prihatin One-off sebanyak RM600.

Beliau berkata masih ramai pemandu teksi tidak memperbaharui kad mereka dan menyukarkan usaha kerajaan untuk menyalurkan bantuan itu.

“Hanya 8,743 orang pemandu teksi sahaja yang telah memperbaharui kad pemandu sehingga 14 Jun lalu daripada anggaran 30,000 orang pemandu teksi yang masih belum memperbaharui kad pemandu sebelum ini.

“Ini menyukarkan usaha kerajaan untuk menyalurkan bantuan Prihatin One-off sebanyak RM600 bagi membantu pemandu teksi mengharungi waktu sukar akibat penularan pandemik Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan.

Pada 27 Mac lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pakej rangsangan ekonomi prihatin rakyat yang menawarkan bantuan ‘one-off’ RM500 kepada 120,000 pemandu e-hailing dan RM600 kepada pemandu teksi mulai 1 Apr ini.

Dan sehingga kini menurut Ka Siong, 99.8% atau seramai 68,103 daripada 68,227 pemandu e-hailing di Semenanjung Malaysia yang dikenalpasti layak bantuan tunai ‘one-off’ RM 500 telah menerima bantuan mereka setakat 11 Jun lalu.

Bantuan RM500 ini diberikan kepada pemandu e-hailing yang memenuhi kriteria yang telah ditetapkan antara lainnya mempunyai lesen PSV yang sah, warganegara dan memperoleh pendapatan RM 1,200 ke atas sebulan yang dinilai dari kutipan hasil sama ada pada November 2019 atau Disember 2019 atau Januari 2020.

Pembayaran dibuat secara terus oleh pihak syarikat e-hailing (eHO) kepada pemandu setelah menerima pengesahan saringan maklumat dari Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) iaitu agensi di bawah Kementerian Pengangkutan Malaysia.

“Berhubung sejumlah pemandu yang layak tetapi masih belum menerima bantuan tersebut akibat masalah teknikal, pihak APAD sedang giat mendapatkan maklumat berkaitan daripada pihak syarikat e-hailing seterusnya memastikan masalah pembayaran diselesaikan dalam masa terdekat.

“MOT akan terus memainkan peranan dan fungsi dalam membantu orang ramai khususnya sektor pengangkutan bagi berdepan waktu sukar akibat pandemik Covid-19 serta bergerak ke hadapan ke arah pemulihan semula ekonomi negara,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.