Michael berdepan 3 tuduhan pecah amanah lebih RM19 juta

114

15 JUN: Seorang peguam, Michael Persius Ubu mengaku tidak bersalah atas tiga tuduhan pecah amanah dan pengubahan wang haram membabitkan sebidang tanah Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) di Tongod, Sabah bernilai RM19,505,400.

Memetik portal Borneo Today, Michael, 64, membuat pengakuan itu selepas dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu, Abu Bakar Manat.

Suspek dibenarkan ikat jamin sebanyak RM1 juta dengan dua penjamin manakala pasport antarabangsanya diserahkan kepada mahkamah serta perlu melapor diri ke pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dua kali sebulan.

Mengikut kertas pertuduhan, bagi pertuduhan pertama, Michael didakwa melakukan kesalahan itu pada 22 Julai 2014 iaitu sebagai ejen kepada RISDA dan di dalam kapasiti tersebut telah diamanahkan ke atas harta iaitu wang berjumlah RM15, 545,400 yang telah dibayar melalui cek Bank Muamalat bernombor 022865 ke akaun AmBank 102010000858 atas nama beliau.

Pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa menerima wang berjumlah RM1 juta iaitu hasil daripada aktiviti haram dari syarikat Budiman Juta Sdn. Bhd., yang dimasukkan ke akaun milik Asli Jati Engineering Sdn. Bhd., iaitu syarikat milik beliau di tempat sama pada 25 Julai 2014.

Bagi pertuduhan ketiga pula, Michael didakwa menerima wang tunai sebanyak RM2,960,000 yang merupakan hasil daripada aktiviti haram dari syarikat Budiman Juta Sdn. Bhd., dilokasi Beverly Hills Plaza pada 27 November 2015.

Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, suspek didakwa di bawah Seksyen 4(1) (a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 dan Seksyen 4 (1) (b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Terdahulu pihak pendakwaan momohon mahkamah tidak membenarkan ikat jamin terhadap tertuduh dengan menyifatkan kes berkenaan adalah serius dan tertuduh berpotensi melarikan diri ke luar negara.

Mahkamah mengarahkan tertuduh membayar deposit RM300,000 hari ini dan RM400,000 lagi selewat-lewatnya 22 Jun depan.

Pendakwaan dikendalikan oleh tiga Pegawai Pendakwa SPRM iaitu Mohamad Fadhly Mohamad Zambry, Amin Fakri, Nartiah M. Sambatan manakala Michael diwakili dua peguam iaitu Zahir Shah dan Angela Ubu.

Mahkamah menetapkan 4 Ogos ini sebagai sebutan semula kes tersebut.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.