Kaji semula lantikan Eric Paulsen dalam MPKM

57

15 JUN: Pelantikan peguam, Eric Paulsen sebagai Ahli Majlis Perundingan Komunikasi dan Multimedia (MPKM) dikhuatiri boleh menyinggung sensitiviti umat Islam di negara ini.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, situasi itu boleh berlaku ekoran beberapa kenyataan Eric sebelum ini yang didakwa berunsur menghina Islam dan umatnya di negara ini.

“Eric juga berkali-kali mengguris hati umat Islam dengan tulisan beliau seperti menuduh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mempromosi ekstremisme dalam khutbah Jumaat, memperlekeh hukum syariah dan menyalahkan madrasah menuntut ilmu agama sebagai lokasi pembiakan ekstremis agama.

“Jika kepakaran dalam perundangan dan hak asasi manusia menjadi sandaran, Pemuda UMNO beranggapan ramai lagi tokoh peguam atau aktivis hak asasi manusia yang sederhana dan lebih memahami batasan kebebasan bersuara yang menyantuni acuan masyarakat timur bertunjangkan prinsip agama dan budaya boleh menjadi pilihan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Eric merupakan salah seorang daripada 15 Ahli MPKM yang dilantik baru-baru ini.

Sementara itu, Dewan Ulama Pas Pusat turut menggesa pihak yang bertanggungjawab supaya mengkaji semula lantikan Eric.

“Walaupun apa niat dan tujuan pelantikan itu dibuat, imej rosak oleh individu terbabit terlalu besar dan dibimbangi pelantikannya itu kelak lebih membawa keburukan dari manfaat yang diharapkan,” jelas dewan berkenaan. – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.