4 saksi kes Zahid setuju transaksi ikut peraturan

154

15 JUN: Empat saksi yang memberi keterangan dalam kes membabitkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini mengakui bahawa transaksi perbankan yang dibuat adalah mengikut peraturan yang ditetapkan, telus, boleh dikesan semula dan tidak menyalahi undang-undang.

Memetik laporan Suara Merdeka, saksi pendakwaan ke-44, Mar Sai Chin menjelaskan, semua transaksi telah direkodkan dan boleh dikesan semula.

Sai Chin, 49, merupakan saksi ‘pertama’ yang dipanggil oleh pihak pendakwaan hari ini bagi menyambung semula prosiding perbicaraan Ahmad Zahid.

Ketika pemeriksaan balas oleh peguam yang mewakili Ahmad Zahid, saksi berkata, berdasarkan transaksi yang direkodkan, beliau tahu bahawa penerima bayaran Lewis & Co adalah sebuah firma guaman.

“Setuju dengan soalan peguam bela bahawa bayaran dibayar pada Lewis & Co, firma guaman dan transaksi direkodkan.

“Setuju transaksi yang direkodkan boleh dikesan dan tidak ada salah, tidak menyalahi dari segi undang-undang,” kata Siew Chin dengan jelas dan terang kepada peguam bela di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah.

Apabila disoal oleh pendakwa raya mengapa beliau bersetuju dengan peguam bela, Siew Chin menjawab:

“Transaksi ini adalah normal transaksi. Jawapan berdasarkan dokumen yang ada di hadapan saya.

“Mengapa saya bersetuju Lewis & Co ialah firma guaman kerana saya merujuk kepada cek.

“Daripada nama Lewis&Co, ia adalah client account. Itu perkara biasa mengikut logik (Common thing based on common sense).”

Siew Chin bersetuju apabila pendakwa raya mengatakan jawapan yang diberi bukan sahaja berdasarkan logik akal atau common sense tetapi juga berdasarkan pengalaman saksi sebagai pegawai di Public Bank.

Sementara itu, saksi ke-45, Penolong Pengurus Maybank Cawangan Setapak, Yusri Mat Yasri, yang tampil memberi keterangan selepas Siew Chin berkata, tiada apa-apa yang tersembunyi dalam transaksi.

Dalam pada itu, saksi ke-46, Lina Zailan dan saksi ke-47, Lau Ai Man, masing-masing memberikan jawapan bahawa transaksi daripada pembayar kepada penerima tidak menyalahi undang-undang, transaksi normal di mana-mana bank dan boleh dikesan kerana semua transaksi direkodkan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Haris Ong Mohd. Jeffrey Ong manakala peguam bela ialah Mohd. Haziq Dhiyaudin Razali.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.