20,972 kad pengundi dihantar ke DUN Chini

83

15 JUN: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menghantar kad pengundi kepada 20,990 pengundi meliputi 20,972 pengundi biasa dan 16 pengundi awal untuk keluar mengundi pada Pilihan Raya Kecil(PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini pada 4 Julai ini mulai hari ini.

Pengerusi SPR, Datuk Azhar Azizan Harun berkata, kad pengundi itu mengandungi maklumat pusat mengundi, saluran mengundi, nombor bilangan pengundi, tarikh, masa pengundian dan cadangan masa keluar mengundi yang digalakkan.

Menurut beliau, maklumat tersebut akan memudahkan pengundi untuk keluar mengundi pada hari mengundi awal 30 Jun dan hari mengundi biasa 4 Julai ini.

“Pada kad pengundi kali ini, SPR juga meletakkan maklumat ‘masa keluar mengundi yang digalakkan bagi setiap pengundi.

“SPR amat berharap pengundi keluar mengundi mengikut ‘masa keluar mengundi yang digalakkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Azhar menambah, cadangan masa ini bertujuan untuk mengalakkan pengundi berkumpul dalam jumlah yang ramai seterusnya memastikan penjarakan sosial dalam kalangan pengundi semasa berada di pusat mengundi.

Menurut beliau, ia selaras dengan prosedur kawalan penyebaran wabak Covid-19 di bawah Akta 324 Akta Kawalan Penyakit Berjangkit yang sedang berkuat kuasa.

“SPR telah mengedarkan kad pengundi mulai hari ini kepada semua pengundi PRK DUN Chini, Pahang.

“Pengundi yang telah menerima kad pengundi tidak lagi perlu membuat semakan di Barung SPR untuk menyemak saluran dan nombor bilangan pengundi dalam dafar pemilih kerana kedua-dua maklumat berkaitan telah dinyatakan dalam kad tersebut,” katanya.

Beliau menegaskan, pengundi masih perlu membawa kad pengenalan bagi pengesahan identiti untuk mengundi dan diingatkan supaya membawa kad pengundi atau catatan maklumat daftar pemilih mengundi bagi memudahkan semakan.

“Bagi mana-mana pengundi yang tidak menerima kad berkenaan boleh membuat semakan maklumat pengundian iaitu pusat mengundi, saluran dan nombor bilangan.

“Aplikasi MySPR Semak atau melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) iaitu SPR<jarak>semak<jarak> nombor kad pengenalan dan hantar ke 15888 atau menghubungi talian hotline SPR di 03-88927018. – MOHD. FAIRUZ YUSOF

Get real time updates directly on you device, subscribe now.