Tun Mahathir masuk jerat sendiri

6,673

14 JUN: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dikatakan telah termasuk jeratnya sendiri apabila beliau membawa isu pengguguran keahliannya dan empat pemimpin lain oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) ke mahkamah.

Bekas Ketua PKR Cabang Rembau, Badrul Hisham Shaharin berkata, semasa Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri keempat, pindaan telah dilakukan terhadap Seksyen 18C Akta Pertubuhan 1966.

Menurut beliau, pindaan itu dilakukan selepas UMNO diharamkan pada 1987.

“Seksyen 18C Akta Pertubuhan 1966 menyatakan, keputusan sesuatu parti politik atau perlembagaan parti adalah muktamad dan konklusif.

“Keputusan itu tidak boleh dicabar, dirayu, dikaji, dibatalkan atau dipersoalkan di mana-mana mahkamah atas apa-apa alasan,” katanya dalam hantar melalui Facebook beliau semalam.

Malah, Badrul Hisham memberitahu, Seksyen 18C akta berkenaan turut menyatakan, tiada mana-mana mahkamah mempunyai bidang kuasa, melayani atau memutuskan apa-apa guaman, permohonan atau prosiding atas apa-apa alasan berkenaan dengan kesahan keputusan itu.

Sehuhungan itu, beliau berpandangan, apabila Dr Mahathir membawa kes pemecatannya dan lain-lain ke mahkamah, ia membawa maksud pengasas Bersatu tersebut telah termasuk jeratnya sendiri.

“Maka benarlah kata pepatah jerat tak pernah lupakan pelanduk tetapi selalunya pelanduk yang lupakan jerat,” jelasya.

Badrul Hisham berkata, mungkin juga Dr Mahathir sudah tidak mempunyai banyak cara untuk meyakinkan penyokongnya sehingga sanggup masuk perangkap sendiri.

Pada 9 Jun lalu, Dr Mahathir bersama lima pemimpin parti itu yang ‘terhenti’ keahlian memfailkan tuntutan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk membatalkan keputusan tersebut. – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.