Syabas YB Dr Daroyah Alwi – Azmin

446

14 JUN: Bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menyambut baik keputusan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sementa, Dr Daroyah Alwi keluar parti semalam.

Beliau yang juga Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri mengucapkan syabas kepada bekas Timbalan Ketua Wanita PKR itu dalam hantaran Facebook miliknya.

“Syabas YB Dr Daroyah Alwi! Ayuh kita teruskan perjuangan dan cita-cita tulen demi membela nasib rakyat,” katanya.

Dalam sidang media semalam, Dr Daroyah turut mengumumkan perletakan jawatan sebagai Ketua Wanita PKR Selangor.

Bekas Ketua PKR Cabang Kapar itu menyatakan mengambil keputusan tersebut kerana hilang kepercayaan terhadap Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pimpinan yang lain tentang hala tuju serta idealisme perjuangan parti.

Selain Dr Daroyah, seramai 48 pemimpin Wanita PKR Selangor dan PKR Cabang Kapar turut keluar parti.

Sementara itu, bekas Ketua PKR Cabang Rembau, Badrul Hisham Shaharin meragui peluang Anwar untuk menjadi Perdana Menteri berikutan tindakan keluar parti beramai-ramai oleh pimpinan PKR Selangor khususnya Dr Daroyah.

“Macam manalah Anwar nak jadi PM ke-9…. dahlah dengan Mahathir tak dapat selesai… Pakatan Harapan (PH) berpecah ada sokong Anwar PM9 ada sokong Mahathir PM9

“Ni orang sendiri pula keluar parti tak dapat jaga… jawablah kekal keras jadi bakal PM jelah gamaknya,” katanya dalam hantaran Facebook miliknya. – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.