PH boleh tumbang jika ramai ADUN Selangor keluar parti

565

14 JUN: Pakatan Harapan (PH) boleh tumbang di Selangor jika lebih ramai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mengumumkan mereka tidak lagi bersama kerajaan negeri.

Penganalisis politik, Prof Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata, setakat ini beliau melihat tindakan bekas Timbalan Ketua Wanita PKR, Dr Daroyah Alwi tidak banyak menjejaskan penguasaan PH di kerajaan negeri Selangor.

“Kalau setakat Dr Daroyah seorang sahaja ADUN keluar PH maka ia tidak menjejaskan kerajaan negeri kerana mereka memiliki majoriti lebih dua pertiga.

“Justeru, saya percaya Selangor tidak akan jatuh seperti beberapa negeri lain sebelum ini kecuali ada tindakan luar biasa ADUN keluar PH beramai-ramai,” katanya.

Dalam sidang media semalam, Dr Daroyah mengumumkan keluar parti serta peletakan jawatan sebagai Timbalan Ketua Wanita PKR.

ADUN Sementra itu menyatakan beliau mengambil keputusan tersebut kerana hilang kepercayaan terhadap Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pimpinan yang lain tentang hala tuju serta idealisme perjuangan parti.

Komposisi DUN Selangor ketika ini terdiri daripada PKR dengan 17 kerusi, DAP (16), Parti Amanah Negara (8), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (5), Barisan Nasional (5), PAS (1) dan Bebas (1). – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.