Penderma darah adalah wira negara

58

14 JUN: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan penghargaan terhadap para penderma darah yang dianggap beliau sebagai wira negara.

Beliau berkata, mereka sanggup tampil saban hari dan mengorbankan masa dan tenaga termasuk semasa negara dalam Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bagi melawan COVID-19.

“Saya juga ingin merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang menganjurkan kempen derma darah.

“Menerusi kempen-kempen yang dianjurkan ini masyarakat berpeluang untuk menderma darah berdekatan dengan komuniti setempat mereka dan ini lebih memudahkan mereka,” katanya.

Muhyiddin berkata demikian dalam rakaman video sempena Hari Penderma Darah Dunia Peringkat Kebangsaan yang disiarkan melalui laman Facebook beliau, hari ini.

Beliau menambah, dalam keadaan negara baru memasuki fasa pemulihan wabak COVID-19, norma kehidupan yang baharu perlu terus dilaksanakan untuk meraikan Hari Penderma Darah tahun ini.

Perdana Menteri juga yakin bahawa semua platform media sosial akan dimanfaatkan dengan makluman berguna bagi meraikan para penderma darah serta menyemarakkan kesedaran menderma darah.

“Teruskanlah sokongan padu anda kepada Pusat Darah Negara dan tabung-tabung darah di seluruh negara,” ujarnya.

Ucapan sempena sambutan Hari Penderma Darah Sedunia Peringkat Kebangsaan

Ucapan sempena sambutan Hari Penderma Darah Sedunia Peringkat Kebangsaan 2020

Posted by Muhyiddin Yassin on Sabtu, 13 Jun 2020

Beliau turut mengajak semua rakyat terutamanya yang masih belum menderma darah untuk memulakan langkah pertama dalam menjadikan amalan menderma darah secara berkala sebagai budaya gaya hidup sihat. – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.