Kita jadi polis kawal diri sendiri – Ismail Sabri

125

14 JUN: Orang ramai diminta mengawal pergerakan dan jarak sosial sendiri bagi memutuskan penularan jangkitan COVID-19 biarpun tiada polis atau anggota keselamatan lain mengarahkan mereka berbuat demikian.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, walaupun polis dan anggota penguat kuasa tidak lagi melakukan pemantauan, setiap individu perlu bertanggungjawab ke atas diri sendiri, keluarga dan masyarakat.

Menurut beliau, pada awal Hari Raya Aidilfitri lalu, memang ada anggota polis dan pasukan penguatkuasaan pematuhan masuk ke kampung dan kawasan perumahan untuk melakukan pemeriksaan dan ramai yang dikompaun terus di lapangan.

“Itu sewaktu awal perayaan sahaja, tetapi sekarang, saya percaya polis tidak lagi membuat pemantauan dari rumah ke rumah seperti ketika sambutan Aidilfitri baru-baru ini.

“Walaupun tiada polis, kita jaga keselamatan dan jarak sosial kita sendiri, tiada ‘frontliner’ (petugas barisan hadapan), kita kena jadi ‘frontliner’ untuk keluarga dan masyarakat sekitar. Kita kawal diri dengan kawalan kendiri. Kalau tiada polis, kita jadi polis kawal diri sendiri,” katanya pada sidang media, hari ini.

Pada masa yang sama, Ismail Sabri menasihatkan orang ramai supaya sentiasa mematuhi setiap prosedur operasi standard (SOP) dan menjaga penjarakan sosial ketika dalam perjalanan pulang dari kampung.

“Hari ini mungkin ramai balik dari kampung kerana esok sudah bekerja, oleh itu saya ingin menasihatkan supaya mereka berhati-hati di jalan raya bagi memastikan perjalanan pulang semula selamat.

“Sewaktu singgah di kawasan R & R (Rawat dan Rehat), pastikan anda mematuhi SOP yang ditetapkan,” katanya.

Beliau menambah, laporan diterima mendapati aliran trafik di lebuh raya dan jalan utama di seluruh negara masih lancar dan tiada kesesakan luar biasa.

Dalam perkembangan lain, Ismail Sabri berkata enam individu ditahan dan direman atas kesalahan ingkar arahan pihak berkuasa pada hari keempat pelaksananaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), semalam.

Berikutan itu, polis turut mengeluarkan kompaun kepada 13 individu atas pelbagai kesalahan dan ingkar arahan PKPP.

Polis melalui Pasukan Bertindak Operasi Pematuhan telah membuat 69,608 pemeriksaan bagi memantau dan menguatkuasakan pematuhan SOP PKPP. – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.