IMM13 pengenalan tunggal warga Filipina di Sabah – Hamzah

179

14 JUN: Kerajaan akan menjadikan dokumen IMM13 sebagai pengenalan tunggal kepada semua warga asing dari Filipina yang tinggal di Sabah.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, keputusan berkenaan dibuat selepas beliau melawat, mendengar dan berbincang dengan semua agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Sabah, hari ini.

Menurut beliau, kerajaan akan menyelaraskan semula hampir 136,000 pemegang pelbagai kad Pendaftaran Warga Asing di Sabah seperti HIF22, Kad Burung-burung, Sijil Banci dan IMM13.

“Dengan penyelarasan ini, IMM13 bakal menjadi dokumen pengenalan tunggal kepada warga asing dari Filipina di Sabah secara berperingkat.

“Walau bagaimanapun, penyelarasan ini tidak membabitkan pengeluaran IMM13 yang baharu dan tidak melibatkan mereka yang tiada sebarang rekod dengan pihak berkuasa,” katanya dalam kenyataan media yang disiarkan dalam laman Facebook miliknya, hari ini.

Hamzah turut menyatakan penghargaan kepada semua agensi yang terlibat seperti Polis Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan Agensi Kawalan Sempadan Malaysia.

“Kedaulatan dan keselamatan negara akan sentiasa kita pertahankan,” katanya.

Sebelum ini, Kementerian Dalam Negeri mengesahkan sokongan terhadap pendirian kerajaan negeri Sabah berhubung pembatalan Pas Sementara Sabah (PSS). – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.