BNM lantik Timbalan Gabenor, Penolong Gabenor baharu

160

14 JUN: Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan pelantikan Marzunisham Omar sebagai Timbalan Gabenornya untuk tempoh tiga tahun berkuat kuasa 15 Jun ini.

Menurt bank pusat tersebut, Marzunisham akan memantau keseluruhan bidang pengurusan korporat BNM, termasuk mata wang dan kewangan, digital dan teknologi, modal insan dan perkhidmatan korporat.

Selain itu, beliau juga akan menjadi Timbalan Gabenor yang bertanggungjawab atas Jabatan Perisikan Kewangan dan Penguatkuasaan.

“Marzunisham akan menjadi ahli Lembaga Pengarah dan akan terus menganggotai pelbagai jawatankuasa BNM, antaranya Jawatankuasa Pengurusan, Jawatankuasa Dasar Monetari, Jawatankuasa Kestabilan Kewangan, Jawatankuasa Pengurusan Rizab dan Jawatankuasa Pengurusan Risiko.

“Beliau juga akan menjadi Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras Kebangsaan bagi Pencegahan Pengubahan Wang Haram,” jelas BNM dalam kenyataan media, semalam.

Marzunisham memulakan kerjaya beliau di Bank Negara Malaysia pada tahun 1993 dan merupakan pemegang Ijazah Sarjana serta Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Ekonomi dari University of Cambridge, United Kingdom (UK).

Beliau mempunyai pengalaman selama 27 tahun dalam pelbagai bidang perbankan pusat yang merangkumi ekonomi dan dasar monetari, pengawalan dan pembangunan sektor kewangan, rangkuman kewangan dan pembangunan organisasi.

Antara 2015 hingga 2017, Marzunisham berkhidmat sebagai Pengarah Eksekutif Southeast Asia Voting Group Constituency di Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).

BNM turut mengumumkan pelantikan Dr. Norhana Endut sebagai Penolong Gabenornya dan beliau akan bertanggungjawab ke atas Jabatan Ekonomi, Dasar Monetari, Pengurusan Data & Statistik serta Jabatan Antarabangsa.

Sebelum pelantikan ini, beliau telah berkhidmat di Jabatan Ekonomi dan Jabatan Dasar Monetari.

Norhana merupakan pemegang Ijazah Doktor Falsafah dan Ijazah Sarjana dalam bidang Ekonomi dari Washington University, Amerika Syarikat, serta Ijazah Sarjana Muda Ekonomi daripada University of Warwick, UK. – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.