Tukang gunting rambut warga Pakistan sah positif Covid-19

43

13 JUN: Seorang lelaki warga Pakistan yang bekerja sebagai tukang gunting rambut di Setapak disahkan positif Covid-19 selepas berita mengenainya tular.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata,  hasil siasatan pihak pasukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga mendapati seramai 40 kontak rapat tukang gunting berkenaan juga telah disaring berikutan lelaki itu disahkan Covid-19.

Menurutnya, kontak rapat tukang gunting rambut itu terdiri daripada rakan serumah dan pelanggan kepada tukang gunting rambut terbabit.

Pengesahan beliau sekaligus membuktikan kesahihan berita terdapat seorang penggunting rambut warga asing positif Covid-19 di Setapak yang tular di laman sosial.

“KKM telah menerima notifikasi dari Pejabat Kesihatan Daerah Titiwangsa pada 11 Jun lalu daripada sebuah hospital swasta di ibu negara melibatkan seorang lelaki warganegara Pakistan yang bekerja sebagai tukang gunting rambut di kedai gunting rambut di Kuala Lumpur.

“Hasil siasatan mendapati kedai gunting rambut itu tidak beroperasi sepanjang fasa PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) pertama iaitu dari 18 Mac lalu tetapi tukang gunting telah memberikan khidmat dari rumah ke rumah atas permintaan pelanggan di kawasan sekitar iaitu dikenalpasti melibatkan seramai 25 kontak rapat.

“Mereka dikenalpasti menerusi rekod panggilan telefon iaitu empat orang rakan serumah dan 21 pelanggan masyarakat awam di kawasan sekitar yang mendapatkan khidmatnya.

“Dan apabila kedai mula beroperasi selepas Perintah Kawalan Pergerakan Kawalan Pergerakan Pemulihan (10 Jun lalu) majikannya telah membawa lelaki itu untuk menjalani saringan Covid-19 sebelum disahkan jangkitan positif,” katanya dalam sidang media semalam.

Tambah Noor Hisham, sebanyak 15 kontak rapat terlibat mendapatkan khidmat tukang gunting rambut warga Pakistan itu sehingga semalam.

Dengan itu, katanya, jumlah kontak rapat yang dikenalpasti ialah seramai 40 orang setakat ini.

Menurutnya, kesemua mereka telah dilibatkan ujian saringan Covid-19 segera dan telah diambil tindakan diarah mengkuarantin diri di rumah masing-masing.

“Warga Pakistan (tukang gunting rambut) telah dimasukkan di Hospital Sungai Buloh pada semalam dan punca jangkitan belum dikenalpasti tetapi siasatan masih diterus dijalankan secara mendalam,’ ujarnya.

Ditanya apakah berkemungkinan kelonggaran operasi kedai gunting rambut yang baharu dua hari akan ditarik balik berikutan satu kes positif tukang gunting rambut itu, Noor Hisham berkata, ia dibuat selepas kajian terperinci dilakukan sebelum ini.

“Kebimbangan kita adalah terhadap tukang gunting rambut warga asing dan juga pekerja asing di sektor lain. Data kita yang diperoleh sejak dua minggu lalu mendapati kes melibatkan warganegara adalah satu angka sahaja.

“Tetapi kes melibatkan warga asing ini perlu dilihat teliti,yang mana kita ada ada lebih 2,000 warga asing yang menjalankan tugas sebagai pengunting rambut.

“Salah satu syarat untuk mereka mulakan kerja gunting rambut ialah mereka kena melalui ujian saringan Covid-19 dan kita telah pun melaksanakannya sehingga satu kes positif dikesan sekarang dan itulah kini kebimbangan kita,” ujarnya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.