Ops Benteng: 723 PATI, 138 tekong ditahan

64

13 JUN: Seramai 723 pendatang asing tanpa izin (PATI) dan 138 tekong ditahan kerana cuba memasuki sempadan negara secara haram, terutama melalui lorong tikus.

Semua mereka ditahan dalam Operasi Benteng membabitkan Angkatan Tentera Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Agensi Keselamatan Sempadan Malaysia, sejak 1 Mei lalu hingga semalam.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata 12 individu disyaki penyeludup serta 15 kapal turut ditahan dalam operasi sama.

Selain itu, agensi penguatkuasaan mengusir 164 PATI, enam tekong dan 27 kapal yang cuba membolosi kawasan sempadan negara.

Operasi Benteng bertujuan mengawal sempadan negara secara bersepadu daripada dibolosi PATI bagi mengekang jenayah rentas sempadan, selain menyekat penularan Covid-19.

PDRM membuat 65 Sekatan Jalan Raya (SJR) Operasi Benteng di seluruh negara dan memeriksa 38,612 kenderaan dan menahan tiga warga asing atas kesalahan imigresen.

SJR ini bertujuan mengekang kemasukan PATI, terutamanya di lorong  tikus dan kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram.

“Agensi penguat kuasa akan terus mengetatkan kawalan kawasan sempadan terutamanya lorong tikus,” katanya pada sidang media di Putrajaya, hari ini.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.