Kurang cerdik bila Melayu tak sayang bangsa sendiri

184

12 JUN: Segelintir orang Melayu dikatakan bersikap kurang cerdik kerana tidak mempunyai perasaan kasih terhadap bangsa sendiri semata-mata tidak mahu dianggap bersifat perkauman.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, binatang yang tidak berakal juga mengenal spesies sendiri.

“PAS juga menolak mereka yang bodoh bersifat ekstrem sehingga tiada jiwa Islam dan jiwa bangsanya sendiri walaupun dia seorang yang berbangsa Melayu mengaku Islam tetapi mahu menghilangkan bangsanya sendiri.

“Kononnya tidak mahu bersifat perkauman, sehingga menjadi terlalu lemah jati diri Islam dan sehingga sanggup membiarkan Islam dihina dan bangsanya sendiri ditelan oleh pihak lain,” katanya dalam kenyataan yang disiarkan Harakahdaily.

Ahli Parlimen Marang itu menjelaskan, PAS yang berdasarkan Islam memulakan langkah bersama parti yang bercirikan Melayu Islam, Cina, India dan lain-lain yang Muslim terlebih dahulu dan menerima pihak bukan Islam yang bersifat sederhana.

Pada masa sama, menurut beliau, PAS menolak golongan yang melampau sifat ekstrem sehingga menzalimi kaum lain yang berlainan agama dan bangsa.

“Perubahan pendekatan yang berlaku kepada PAS bukan kerana perubahan kepimpinan, tetapi perubahan situasi, realiti dan mampu membaca sepak terajang politik sendiri dan sepak terajang pihak lain daripada kalangan kawan dan lawan,” jelasnya.

Abdul Hadi menambah, PAS mempunyai kaca mata dan kaca teropong yang putih bersih sehingga dapat melihat semua warna yang sebenar tanpa tersilap.

Beliau berkata, PAS juga tidak boleh dikelirukan dengan kaca mata yang berwarna sehingga tidak kenal warna yang di luar atau warna yang diubah untuk mengelirukannya.

“PAS berpegang dengan konsep sejahat-jahat seorang Muslim yang beriman diterima taubatnya oleh Allah SWT, manakala sebaik-sebaik amalan orang yang tidak beriman akan ditolak juga pada Hari Kiamat nanti,” katanya. – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.