Kematian meningkat tapi Eropah sedia buka semula sempadan

25

12 JUN: Lebih 1.5 juta kes Covid-19 dicatatkan di Latin Amerika, yang kini diancam krisis makanan ketika pasaran global merosot, sekali gus melalui tempoh sukar untuk pemulihan ekonomi.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) turut memberi amaran situasi sama boleh berlaku kepada Afrika yang mana virus dilapor merebak cepat.

“Ia mengambil masa 98 hari untuk mencapai 100,000 kes dan hanya 18 hari kepada 200,000 kes,” kata wakil WHO, Matshidiso Moeti.

Brazil pada Khamis, mencatat kira-kira 800,000 kes koronavirus dengan 40,000 kematian, manakala keseluruhan wilayah Latin Amerika sudah merekod 70,000 kematian.

Sebalik peningkatan kes di dua bandar terbesar Brazil – Sao Paulo dan Rio de Janeiro, pusat beli-belah mula dibuka walaupun Kementerian Kesihatan negara itu mengumumkan lebih 1,200 kematian dalam tempoh kurang 24 jam dan 30,000 kes baharu.

Kesatuan Eropah pula mengesyorkan 27 ahlinya untuk membuka semula sempadan antara negeri masing-masing mulai 15 Jun dan barat Balkans pada 1 Julai.

Bagaimanapun, sempadan dengan dunia luar hanya dibuka berperingkat, membabitkan negara yang pandemiknya terkawal sahaja.

Sementara Amerika Syarikat (AS) yang menjadi negara tertinggi dari segi jumlah kes dan kematian, kini sudah melepasi angka dua juta.

Sumber rasmi dipetik AFP mendedahkan 419,000 menjadi korban wabak di seluruh dunia dan Covid-19 sudah menjangkiti 7.5 juta orang sejak mula tercetus di China pada Disember 2019.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.