Bubar Parlimen jalan terbaik tangani sikap mabuk kuasa PH

2,390

12 JUN: Pembubaran Parlimen merupakan salah satu jalan terbaik untuk menamatkan kemelut politik yang dicetuskan oleh pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang mabuk kuasa.

Penganalisis politik, Prof Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata, langkah itu boleh dipertimbangkan setelah penularan COVID-19 dapat dikawal sepenuhnya.

“Itupun kalau dia (Datuk Seri Anwar Ibrahim) betul-betul sudah mendapat sokongan majoriti mudah untuk membentuk kerajaan PH yang baharu tetapi sehingga sekarang saya tidak yakin beliau sudah mempunyai jumlah mencukupi.

“Saya nampak Anwar masih belum memperoleh sokongan majoriti ahli parlimen mencukupi tetapi apa-apa boleh berlaku dalam politik Malaysia sebab lompat parti sudah menjadi kebiasaan,” katanya kepada PNBBC Portal, hari ini.

Beliau mengulas tentang situasi politik semasa yang menyaksikan PH sering mengubah jumlah ahli Parlimen yang dikatakan memihak kepada mereka untuk menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Sementara itu, penganalisis politik, Prof Datuk Dr Zainal Kling berpandangan, dakwaan Anwar sudah mendapat sokongan lebih daripada 112 ahli Parlimen dan mungkin menghadap Yang di-Pertuan Agong minggu depan untuk membentuk kerajaan baharu hanyalah ‘mimpi dan sandiwara’ politik semata-mata.

“Begitu juga penyokong Tun Dr Mahathir Mohamad. Ada mimpi dan harapan serta tuntutan peribadi. Namun persengketaan kedua-dua pemimpin politik ini selama bertahun-tahun memang menyusahkan rakyat Malaysia.

“Mereka sanggup menggunakan sepenuhnya skandal 1 Malaysia Development Berhada (1MDB) dan menfitnah Datuk Seri Najib Razak dengan membuat pelbagai tohmah dan tuduhan demi mendapatkan kuasa dan memenuhi nafsu politik masing-masing,” jelasnya.

Beliau menambah, walaupun semua kejahatan, pembohongan, fitnah dan konspirasi mereka kini terbongkar satu persatu, Anwar tetap meneruskan sandiwara politiknya demi memastikan cita-citanya untuk menjadi Perdana Menteri tercapai. – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.