Apa motif Guan Eng, Tun M kata ekonomi negara bangkrap?

189

12 JUN: Sekretariat NGO Melayu Islam (PentasNGO) mempersoalkan motif di sebalik dakwaan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng kononnya negara ini bangkrap semasa Pakatan Harapan (PH) mengambil alih kerajaan daripada Barisan Nasional (BN).

Wakilnya, Naseron Ismail berkata, kedua-dua pemimpin PH itu juga pernah mendakwa hutang negara ketika itu melebihi RM1 trilion.

Sedangkan, menurut beliau, Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz baru-baru ini mengesahkan bahawa ekonomi negara sebenarnya amat kukuh.

NASERON ISMAIL

“Jadi kenyataan Dr Mahathir dan Guan Eng itu menyebabkan timbul persepsi negatif terhadap ekonomi negara sehingga 22 bulan PH memerintah kononnya Malaysia menghadapi masalah ekonomi yang serius,” katanya.

Naseron berkata demikian selepas membuat laporan terhadap Dr Mahathir dan Guan Eng di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, Kuala Lumpur hari ini.

Beliau memberitahu, laporan polis tersebut bertujuan menggesa pihak berkuasa menyiasat secara terperinci serta menubuhkan suruhanjaya siasatan diraja (RCI) bagi menyiasat sama ada wujud penipuan dalam kenyataan kedua-dua pemimpin PH terbabit.

“Kita juga berharap lebih banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan orang perseorangan tampil membuat laporan polis bagi mendesak kerajaan segera menubuhkan RCI tersebut,” jelasnya. – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.