Solat jemaah dan Jumaat dibenarkan mulai esok

279

11 JUN: Semua masjid, surau Jumaat dan surau dalam zon hijau di Wilayah Persekutuan akan dibuka bagi solat Jumaat dan solat berjemaah dengan perluasan bilangan satu pertiga had kapasiti bagi dewan solat utama berkuat kuasa esok.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, berkata pembukaan semula itu akan dimulakan dengan solat Jumaat esok.

Katanya, sebagai contoh, jika sebuah dewan solat mampu memuatkan 1,000 orang jemaah pada satu masa, maka bilangan yang dibenarkan adalah 333 orang buat masa ini.

Berikutan itu, Zulkifli berkata pihak jawatankuasa masjid dan surau boleh mengguna pakai sistem penggiliran atau sebarang mekanisme yang sesuai, boleh dilaksanakan bagi memberi peluang orang ramai hadir solat berjemaah.

“Jawatankuasa kariah masjid, surau Jumaat serta surau juga boleh melantik sukarelawan dalam kalangan jemaah bagi membantu kawalan sebelum dan selepas solat.

“Kapasiti jemaah akan ditambah secara berperingkat dengan makluman dari semasa ke semasa atas nasihat daripada Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN),” katanya dalam sidang media menerusi laman Facebook rasminya sebentar tadi.

Mengulas lanjut, Zulkifli berkata tiada had umur ditetapkan untuk solat jemaah, termasuk bagi kelompok warga emas dengan syarat mereka sihat.

“Saya maklum jauh di sudut hati wanita-wanita di luar sana, teringin untuk kembali beribadah di rumah Allah SWT. Berita gembira buat semua
Muslimah, anda juga dibenarkan untuk ke masjid, surau Jumaat dan surau dengan syarat bersama-sama dengan mahram anda.

“Kepada warga emas, tidak ada had umur yang ditetapkan untuk hadir sebagai jemaah dengan syarat anda sihat. Kanak-kanak berumur 12 tahun ke bawah, jemaah yang bergejala dan menghidap penyakit kronik tidak dibenarkan hadir buat masa ini.

“Masjid turut dibuka di ruang tertentu untuk mereka yang ingin singgah solat seperti musafir, pemandu dan rider perkhidmatan e-hailing,” katanya.

Selain itu, Zulkifli mengesahkan kerajaan turut membenarkan majlis akad nikah, kuliah maghrib dan subuh di masjid dan surau di Wilayah Persekutuan surau dengan mematuhi beberapa syarat ditetapkan.

Beliau berkata antara lain kuliah maghrib mesti dihentikan sebaik saja masuk waktu solat isyak, manakala kuliah subuh pula berlangsung anggaran 20 hingga 30 minit saja.

“Sehubungan itu, masjid dan surau boleh kembali diimarahkan dengan lebih aktif. Bagaimanapun, jawatankuasa masjid dan surau Jumaat diingatkan bahawa jamuan makan selepas kuliah tidak dibenarkan,” katanya. – Oleh Haika Khazi

Get real time updates directly on you device, subscribe now.