Bas ekspres dibenarkan beroperasi sepenuhnya

48

11 JUN: Pengangkutan awam, dan bas ekspres dibenarkan beroperasi dengan kapasiti penuh dalam tempoh perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP).

Malah menurut Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bas ekspres dan semua perkhidmatan itu dibenarkan beroperasi tanpa had masa.

Namun katanya pengusaha perlu mendaftarkan penumpang melalui aplikasi MySejahtera atau secara manual, dan penumpang termasuk pemandu perlu memakai topeng hidung dan mulut setiap masa.

“Pengusaha bas perlulah memeriksa suhu badan penumpang sebelum menaiki bas dan menyediakan topeng muka kepada mereka yang tiada serta mensanitasi bas selepas setiap perjalanan,” katanya pada sidang media.

Bagi pengangkutan awam seperti bas awam, feri, kereta api, dan kereta api aliran ringan, pemakaian topeng serta muat turun aplikasi MySejahtera, dan penggunaan sanitasi tangan perlu dipatuhi setiap masa.

“Bagi yang membenarkan penumpang untuk berdiri, penumpang perlu mengamalkan kawalan kendiri penjarakan sosial,” katanya.

Bagi pesawat penerbangan pula, suhu penumpang perlu direkodkan disamping wajib memakai pelitup muka.

Sementara itu, perkhidmatan teksi dan kenderaan e-panggilan juga dibenarkan beroperasi tanpa had masa, dengan kapasiti penumpang mengikut kapasiti kenderaan.

“Penggunaan aplikasi MySejahtera untuk memudahkan proses ‘contact tracing’ dan pembayaran tambang mengikut kaedah tanpa tunai adalah digalakkan,” katanya.

Kerajaan juga membenarkan kenderaan persendirian membawa penumpang yang bukan dari keluarga yang sama, mengikut kapasiti kenderaan.

“Mereka juga perlu memakai topeng muka di dalam kenderaan,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.