Masa depan Malaysia lebih cemerlang tanpa Anwar, Tun M

1,419

10 JUN: Malaysia memerlukan ‘arkitek’ baharu selain Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk membina masa depan yang lebih cemerlang.

Biarpun nama Anwar kini dikatakan menjadi pilihan utama sebagai calon Perdana Menteri kesembilan jika Pakatan Harapan (PH) menerajui kerajaan semula, namun bagi bekas setiausaha sulitnya, Anuar Shaari, perkara itu sukar dilaksanakan.

Malah, katanya, realiti sekarang, jika diberi pilihan, majoriti rakyat Malaysia akan menolak nama ‘bos lamanya’ atau Dr Mahathir untuk dilantik menjadi Perdana Menteri seterusnya.

“Ini kerana pemimpin PH sepanjang menjadi kerajaan selama 22 bulan suka membuat atau menabur janji manis tetapi liat atau tidak pernah ditunaikan.

“Malah, pemimpin PH berkata manisfesto pilihan raya yang diguna pakai pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) tidak dianggap sebagai satu ikatan aku janji yang wajib dilaksanakan selepas mereka berjaya menawan Putrajaya pada Mei 2018,” katanya ketika dihubungi PNBBC Portal hari ini.

ANUAR SHAARI

Walau bagaimanapun, beliau yakin Anwar sanggup melakukan apa sahaja termasuk berbohong dan mungkir janji demi memastikan cita-citanya menjadi Perdana Menteri tercapai.

“Segala gerak kerja dilakukan semua menjurus ke arah memastikan beliau berjaya menjadi Perdana Menteri.

“Jadi tidak hairanlah Anwar sanggup berselindung di sebalik kenyataan kononnya inilah kehendak atau kebajikan rakyat namun sebenar apa yang penting hanyalah untuk menjayakan cita-cita beliau mahu menjadi Perdana Menteri,” katanya.

Mengulas lanjut, Anuar berkata, kerajaan PH sebelum ini tumbang bukan kerana hasil ‘kerja’ dan kesalahan Barisan Nasional (BN) atau PAS.

Sebaliknya, Anuar menegaskan, PH tumbang kerana masalah dalaman dan perbalahan dalam kalangan pemimpin PKR, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) yang membentuk kerajaan ketika itu.

“Apabila Dr Mahathir yang menjadi Perdana Menteri ketika itu meletak jawatan maka beliau dengan sendiri menyebabkan kerajaan PH lumpuh sehingga menyebabkan ia tumbang.

“Tidak sama selepas itu Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama beberapa ahli Parlimen PKR dan Bersatu telah bergabung bersama wakil rakyat UMNO dan PAS serta Sabah dan Sarawak untuk membentuk satu gabungan untuk membentuk kerajaan campuran dikenali Perikatan Nasional (PN) bagi menyelamatkan keadaan.

“Jika lebih dari seminggu Malaysia tiada Perdana Menteri maka keadaan negara akan menjadi lebih teruk kerana kerajaan tergantung, segala keputusan penting terutamanya mengenai usaha menangani COVID-19 tidak dapat dilaksanakan dengan sebaik mungkin,” katanya.

Beliau memberitahu, langkah Muhyiddin mengambil alih kerajaan adalah tepat dan penting kerana rakyat ketika itu mula gelisah dan panik kerana negara sedang dilanda masalah penularan wabak COVID-19. – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.