Ibadah haji jemaah Malaysia ditangguhkan ke tahun depan

143

11 JUN: Kerajaan hari ini mengumumkan tiada penghantaran jemaah haji Malaysia tahun ini berikutan penularan wabak Covid-19.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, berkata keputusan itu juga dibuat dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, perbincangan dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia.

Beliau berkata perkara sama turut dibincangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Khas Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang telah bersidang, kelmarin.

“Biarpun berat hati saya mewakili kerajaan terpaksa mengumumkan bahawa kita terpaksa menangguhkan penghantaran jemaah haji dari Malaysia ke Makkah bagi musim 1441 Hijriah sehingga tahun depan dengan mengambil kira faktor kesihatan dan keselamatan.

“Sehubungan itu, saya sudah menjemput Duta Kerajaan Arab Saudi ke Malaysia, untuk menyerahkan surat rasmi penangguhan ibadah haji bagi Malaysia untuk disampaikan kepada Dr. Mohammed Saleh Taher Banten selaku Menteri Haji dan Umrah Kerajaan Arab Saudi, semalam.

“Selain, Malaysia, antara negara-negara lain yang turut menangguhkan penghantaran jemaah Haji mereka adalah Indonesia, Singapura, Kemboja, Thailand dan Brunei,” katanya dalam sidang media khasnya di Putrajaya, hari ini.

Sehubungan itu, Zulkifli berkata Lembaga Tabung Haji (TH) akan mengeluarkan kenyataan rasmi dan soalan lazim (FAQ) berkaitan urusan penangguhan ibadat haji bagi Musim Haji 1441H, dalam masa terdekat.

Ditanya mengenai jika ada penambahan kuota tahun depan berikutan penangguhan tahun ini, Zulkifli berkata, jumlah itu bergantung kepada perbincangan dengan kerajaan Arab Saudi selepas musim haji tahun ini.

“Saya juga menyeru seluruh umat Islam di Malaysia untuk terus berdoa agar Allah SWT menghilangkan wabak ini sepenuhnya dan memelihara dua Kota Suci Makkah dan Madinah dari sebarang perkara yang tidak diingini.

“Saya mengambil kesempatan ini untuk merakamkan ucapan terima kasih kepada Kerajaan Arab Saudi di bawah kepimpinan Khadim al-Haramain alSyarifain Raja Salman Abdulaziz atas usaha gigih membendung  penularan jangkitan Covid-19 di Tanah Suci,” katanya.

Zulkifli berkata kerajaan juga amat menghargai segala pengorbanan Kerajaan Arab Saudi dan wira-wira barisan hadapan mereka
yang masih bertungkus-lumus dan berterusan memerangi wabak ini khususnya di dua buah Kota Suci yang dicintai seluruh umat Islam.

“Saya mengharapkan semua bakal haji untuk bersabar dan redha dengan keputusan ini. Semoga dengan doa dan munajat kita, pembukaan berperingkat masjid dan surau di seluruh Malaysia bermula 15 Mei 2020 serta pelaksanaan ibadah haji pada tahun hadapan akan dapat direalisasikan dengan lancar dan dipermudahkan dengan izin Allah SWT,” katanya. – Oleh Haika Khazi

Get real time updates directly on you device, subscribe now.