DAPSY jangan jadi anasir ganggu kestabilan kerajaan

83

11 JUN: Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) dan sekutu-sekutunya diingatkan agar tidak menjadi anasir yang mengganggu kestabilan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Peringatan itu disuarakan oleh Ketua Pemuda UMNO Terengganu, Tengku Haphiz Tengku Putera berikutan sikap Ketua DAPSY, Howard Lee yang memperlekehkan tawaran gencatan politik daripada Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Menurut beliau, pendirian DAPSY itu bukan sahaja memualkan malan menonjolkan sisi hipokrit dan sikap mementingkan diri pihak pembangkang.

Katanya, banyak perkara positif yang dilakukan kerajaan seperti kejayaan menangani penularan COVID-19, isu pemandu mabuk dan pasaran saham melonjak telah menimbulkan kegembiraan dalam kalangan rakyat.

“Malah, rakyat sangat gembira dengan kerajaan hari ini yang sentiasa fokus dan tidak terganggu dengan ancaman politik pembangkang. Sidang media Perdana Menteri dan Menteri Kanan (Keselamatan) terutamanya hanya menyampaikan maklumat dan kaedah penyelesaian.

“Bukannya politik murahan. Kedua-duanya menonjolkan kualiti kepimpinan yang negara ini telah hilang selama 22 bulan,” katanya dalam kenyataan melalui Facebook.

Tengku Haphiz turut menegaskan, Pemuda UMNO bersedia menjadi benteng yang mempertahankan keharmonian negara daripada ancaman luar dan dalam. – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.