Anifah tepis dakwaan Shafie sifatkan hanya nasihat

522


11 JUN: Susulan khabar angin yang mendakwa ada cubaan untuk memujuk Ahli Parlimen Warisan, Datuk Mohamaddin Ketapi keluar parti, Datuk Seri Anifah Aman tampil membuat penjelasan.

Sambil menepis tuduhan itu, beliau berkata, hanya memberi pandangan tentang keadaan politik semasa di Sabah kepada bekas menteri pelancongan itu.

“Berkenaan dengan isu Mohamaddin Ketapi, beliau sebagai salah seorang kawan yang sama-sama bersekolah di England dulu beliau meminta pandangan saya berkenaan keadaan Sabah.  

“Saya memberikan pendapat saya bahawa disebabkan bilangan kerusi di Sabah dan Sarawak buat masa ini walaupun bergabung hanyalah 56 kerusi sahaja maka kita buat masa ini  harus bekerjasama dengan kerajaan pusat dalam usaha mendapatkan hak-hak rakyat Sabah seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 serta Perlembagaan Persekutuan demi kepentingan rakyat Sabah,” katanya dalam satu kenyataan.

Anifah turut menjelaskan pandangan itu bukan sahaja kepada Mohamaddin sebaliknya pendapat sama akan dibuat kepada mana-mana rakan politiknya yang lain jika diminta nasihat.

Beliau yang juga bekas menteri luar ketika pemerintahan BN menyambut baik tuduhan dibuat Presiden Warisan Datuk Seri Shafie Apdal kononnya dia banyak menghubungi wakil rakyat parti berkenaan supaya melompat dengan ucapan terima kasih.

“Walaupun tidak memegang sebarang jawatan di peringkat negeri mahupun persekutuan, nama saya masih lagi disebut-sebut. Mungkin atas sebab banyak jasa saya sudah taburkan kepada negara ini sebab itulah beliau susah mahu melupakan nama saya.

“Sebenarnya saya mempunyai ramai kawan-kawan yang selalu menghubungi saya untuk berbincang serta meminta pendapat saya berkenaan keadaan politik semasa terutamanya di Sabah. Walaupun saya belum lagi mempunyai sebarang parti namun kemungkinan disebabkan saya seorang yang dianggap berpengalaman maka pendapat saya sentiasa dipinta,” katanya sambil memaklumkan fokusnya hanya satu mengembalikan hak-hak rakyat Sabah seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963.

Beliau turut manasihati Shafie yang juga ketua menteri Sabah supaya memberi fokus kepada isu rakyat negeri dibawah bayu itu termasuk memulihkan ekonomi kesan daripada wabak Covid-19.

“Jangan janji Ketua Menteri Sabah tinggal janji manis seperti janji terang bulan,” katanya.

Sebelum ini, Shafie mendakwa Anifah banyak menghubungi wakil rakyat parti berkenaan supaya melompat parti.

Shafie berkata, beliau dimaklumkan Muhamaddin yang Anifah menghubunginya sebanyak tiga kali untuk memujuk agar meninggalkan Warisan.

Mohamaddin mengesahkan perkara itu sambil  menyifatkan permintaan dan pujukan daripada seseorang agar meninggalkan parti adalah “perkara biasa”.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.