3 suspek rasuah kontrak promosi iklan RM90 juta ditahan

184

10 JUN: Tiga pengarah syarikat ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam, kerana disyaki terbabit dengan rasuah membabitkan kontrak promosi pengiklanan kelolaan sebuah agensi kerajaan bernilai lebih RM90 juta pada tahun 2019.

Ketiga-tiga pengarah syarikat berusia antara 31 hingga 48 tahun itu ditahan ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya, petang semalam.

Difahamkan, semua suspek kini dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya bagi mendapatkan perintah tahanan reman untuk membantu siasatan SPRM.

Menurut sumber, SPRM juga sudah mengenal pasti beberapa pegawai agensi terbabit yang turut bersubahat dan dijangka akan menahan individu yang bersekongkol dengan ketiga-tiga pengarah syarikat berkenaan dalam masa terdekat.

Sumber berkata, siasatan SPRM juga mendapati syarikat berkenaan telah mengemukakan dokumen dan maklumat palsu untuk menyertai tender sehingga ditawarkan projek terbabit.

“Syarikat terbabit juga dikatakan tidak memiliki kelayakan serta gagal melepasi penilaian teknikal dan kewangan.

“Bagaimanapun disebabkan bayaran suapan rasuah kepada orang dalam maka semua syarat asas diketepikan bagi membolehkan kontrak tersebut diberikan kepada syarikat terbabit,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya Operasi SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya ketika dihubungi mengesahkan tentang penahanan ketiga-tiga pengarah terbabit mengikut Seksyen 17 (a) dan Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

“Ketiga-tiga pengarah syarikat dihadapkan ke Mahkamah Majistret Putrajaya pagi ini bagi permohonan tahanan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.