107 sokong PH tak termasuk ahli Parlimen Bebas

247

11 JUN: Jumlah 107 Ahli Parlimen yang dikatakan menyokong Pakatan Harapan (PH) dalam siaran langsung Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam siaran langsung melalui Facebook semalam hanya mengambil kira bilangan yang diwakili setiap parti yang menghadiri mesyuarat pada 9 Jun lalu.

Memetik kenyataan media yang dikeluarkan pejabatnya, banyak persoalan diterima berhubung jumlah ahli Parlimen yang menyokong PH.

“Ingin dimaklumkan bahawa jumlah 107 ahli Parlimen seperti yang diperjelas sewaktu sesi Facebook Live beliau pada 10 Jun 2020 adalah berdasarkan jumlah yang diwakili setiap parti yang hadir sewaktu mesyuarat Pakatan Harapan (PH) pada 9 Jun 2020.

“Belum mengambil kira ahli Parlimen Bebas ataupun mana-mana pihak lain yang tidak hadir dalam mesyuarat tersebut,” jelas kenyataan tersebut, hari ini.

Walau bagaimanapun, Pejabat Presiden PKR tidak menyatakan jumlah sebenar ahli Parlimen yang memihak kepada PH.

Banyak pihak yang tertanya-tanya tentang perkara tersebut kerana PH sering mendakwa mereka beroleh sokongan yang mencukupi untuk menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Dalam siaran langsung semalam, Anwar menyatakan mesyuarat tersebut mendapati mereka mempunyai 107 sokongan dan akan mara ke depan dalam satu pasukan.’

Namun, Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan berpandangan, angka yang disebut oleh Anwar itu mungkin sebahagian daripada strategi perang psikologi PH.

Sebelum ini, jumlah ahli Parlimen yang didakwa menyokong PH sentiasa berubah-ubah. – ASLINDA NASIR

Get real time updates directly on you device, subscribe now.