Tun M rancang tangkap Najib ketika masih menjadi PM

6,428

10 JUN: Bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali mendedahkan tentang perancangan Tun Dr Mahathir Mohamad menggunakan pengaruhnya untuk memperalatkan pihak berkuasa menangkap Datuk Seri Najib Tun Razak ketika beliau masih menjadi Perdana Menteri.

Pendedahan itu dibuat menerusi catatan dalam laman Facebook beliau malam ini tentang memoir yang sedang ditulisnya.

Berikut adalah catatan beliau yang diterjemahkan dari bahasa Inggeris ke bahasa Melayu:

Permulaan untuk bab dalam memoir saya!

Satu petang pada Januari 2018, Datuk Seri Gopal Sri Ram datang ke rumah saya setelah membuat beberapa panggilan telefon kerana ingin bercakap dengan saya sendiri dan secara peribadi.

Oleh kerana beliau pernah menjadi hakim seperti saya dahulu, saya bersetuju.

Beliau menyatakan bahawa beliau ingin meyakinkan saya untuk membatalkan pembekuan akaun-akaun firma tertentu kerana peguam-peguam yang berhubung dengannya perlu dibayar dan dari akaun itulah pembayaran mereka akan dilakukan.

Beliau sebelumnya telah menghantar seorang wakil ke Jabatan Peguam Negara kerana saya ialah Peguam Negara pada masa itu tetapi setelah berunding dengan pegawai-pegawai di bahagian jenayah, saya menulis respons yang negatif kepadanya.

Beliau tiba di rumah saya dengan seorang peguam muda berbangsa Cina, dan sebaik sahaja duduk, beliau melontarkan hujah yang panjang tentang mengapa saya tidak seharusnya memberi reaksi negatif tetapi saya membalas dan menjelaskan kepadanya bahawa semua yang saya masukkan dalam jawapan itu telah difikirkan dengan teliti dan dibincangkan oleh kami di pejabat.

Kemudian secara tiba-tiba, beliau berkata, itu hanya alasan untuk berjumpa dengan saya dan beliau mempunyai agenda yang lebih besar.

“Tun M menghantar saya untuk berjumpa dengan anda.”

“Beliau mahu anda menangkap Najib di pejabatnya, anda pergi esok pukul 2 petang, kami telah mengaturkan agar polis di Putrajaya melakukan apa sahaja yang perlu atas arahan anda. Kami juga telah mengaturkan agar hakim mengeluarkan perintah reman apabila beliau dihadapkan ke hadapannya.”

“Saudara, anda akan menjadi wira di mata rakyat dan anda akan menjadi Peguam Negara pertama yang menangkap Perdana Menteri yang masih berkuasa.”

“Jangan bimbang, kami telah menyiapkan rancangan asas, yang saya perlukan sekarang adalah persetujuan anda.”

Kemudian saya bertanya kepadanya, “Atas alasan apa beliau akan ditangkap?”

Beliau berkata: “Saudara, rakyat berasa kecewa dan tidak gembira, hakikat bahawa anda menangkapnya, tanpa mempedulikan alasannya, akan menggembirakan rakyat.”

Gopal Sri Ram ingin meyakinkan saya dan beliau mahu jawapan segera.

Saya meminta supaya diberikan masa untuk memikirkannya.

Beliau kemudian pergi bersama peguam muda berbangsa Cina yang dibawanya bersama.

Pada masa itu, saya dan keluarga turut diserang dalam media sosial, bukan sahaja daripada pembangkang malah daripada tentera siber penyokong kerajaan yang memerintah.

Tiada sebab untuk saya menyelamatkan sesiapa ketika saya menjadi ‘musuh kepada semua orang’.

Gopal Sri Ram boleh menafikan perkara ini tetapi saya ingin memberi peringatan bahawa pada waktu itu saya ialah Peguam Negara dan rumah saya dilengkapi dengan CCTV, (yang dipasang khusus untuk ruang tamu) dan belum lagi diambil kira pengawal-pengawal saya dan anggota polis yang ditempatkan di balai pengawal di depan rumah saya – CCTV tidak akan berbohong dan saya juga mempunyai saksi.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.