Seleweng minyak masak bersubsidi, 4 pengarah syarikat ditahan

487

10 JUN: Empat pengarah syarikat ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) petang semalam kerana disyaki terlibat dalam sindiket penyelewengan minyak masak bersubsidi.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya mengesahkan tangkapan terhadap semua suspek dalam Ops RBD yang melibatkan kuota pembekalan minyak subsidi daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Menurut beliau, keempat-empat suspek yang ditahan berusia antara 30 hingga 41 tahun ditahan sekitar Selangor dan Putrajaya.

“Isu berhubung penyelewengan minyak masak bersubsidi ini merupakan isu ketirisan yang mengakibatkan keraajan kerugian ratusan juta ringgit.

“Berdasarkan perkiraan kasar SPRM, sindiket ini telah mengaut keuntungan atas bayaran subsidi sebanyak RM21.6 juta sejak beroperasi selama tiga tahun dan terdapat sembilan buah syarikat yang dikawal oleh sindiket ini,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Ahmad Khusairi menambah, SPRM turut membekukan 12 akaun milik individu dan syarikat berjumlah lebih RM25 juta.

Berdasarkan semakan dengan KPDNHEP, beliau memberitahu, sindiket tersebut telah diberikan kuota perbekalan minyak masak sebanyak 1,000 tan sebulan.

“Sepatutnya, syarikat-syarikat ini perlu memproses dan membungkus semula minyak masak yang diberikan kepada bungkusan 1 kilogram dan dibekalkan untuk kegunaan peruncit dan orang ramai khususnya masyarakat luar bandar.

“Apa yang berlaku, minyak masak bersubsidi ini tidak dibungkus sebagaimana yang sepatutnya dan sebaliknya dikumpul dan dieksport ke luar negara,” ujarnya.

Ahmad Khusairi berkata, ketirisan yang berlaku menyebabkan bekalan minyak masak amat berkurangan di pasaran dan menjadi keluhan rakyat dan peniaga kecil.

Beliau memberitahu, selain mendapat keuntungan berlipat kali ganda dengan menjualnya ke luar negara, syarikat-syarikat terbabit turut menuntut bayaran subsidi daripada kerajaan bagi urusan pembungkusan dan pembekalan minyak masak yang kononnya dibuat mereka.

“Kesannya dalam tempoh tiga tahun sahaja, sebanyak RM21.6 juta dituntut dan diselewengkan,” katanya.

Kempat-empat saspek telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Putrajaya pagi tadi untuk permohonan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah.

Majistret Shah Wira Abdul Halim mengarahkan keempat-empat suspek direman lima hari mulai hari ini hingga 14 Jun 2020.

Siasatan dibuat atas kesalahan di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009 dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak melebihi 20 tahun dan didenda lima kali ganda nilai suapan. – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.