PN semakin kukuh, PH cuma mampu raih 107 sokongan

1,666

10 JUN: Komplot Pakatan Harapan untuk menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) semakin sukar kerana mereka hanya mampu meraih sokongan 107 ahli Parlimen sahaja.

Perkara itu disahkan sendiri oleh Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam siaran langsung melalui laman Facebook miliknya hari ini.

Beliau yang dikatakan mengetuai PH ketika ini mengulas tentang mesyuarat PH, Parti Warisan Sabah (Warisan) dan kluster Tun Dr. Mahathir Mohamad di Ibu Pejabat PKR, Petaling Jaya, semalam.

“Kita berkumpul dan kita capai satu persetujuan. Apa pun strategi harus bersama. Pembangkang harus teguh dengan pendirian mereka.

“Sekarang ini 107 (sokongan) dalam kumpulan ini dan kita akan mara ke depan dalam satu pasukan untuk pastikan mandat rakyat dihormati,” katanya.

Pendedahan Anwar itu agak mengejutkan kerana PH sebelum ini sering mendakwa mereka beroleh jumlah ahli Parlimen yang mencukupi untuk membentuk kerajaan.

Berdasarkan perkembangan tersebut, PN kini menerima sokongan daripada 115 ahli Parlimen sekali gus memperkukuhkan kedudukan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk terus berkhidmat kepada rakyat.

Berdasarkan jumlah itu, sokongan terhadap PN kini sebenarnya bertambah berbanding 114 ahli Parlimen yang memihak kepada gabungan parti pemerintah semasa kerajaan baharu dibentuk Mac lalu.

Sebaliknya, sokongan terhadap PH pula yang berkurangan selepas Ahli Parlimen Lubok Antu merangkap bekas Naib Presiden PKR, Tambat @ Jugah Muyang menyatakan sokong kepada PN baru-baru ini.

Terbukti, dakwaan PH tentang sokongan majoriti ahli Parlimen yang mereka terima seolah-olah calon Perdana Menteri mereka boleh mengangkat sumpah esok atau lusa adalah omong-omong kosong belaka. – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.