PKPP: Perniagaan, aktiviti dilarang akan dikurangkan

132

10 JUN: Senarai 11 aktiviti yang dilarang dilakukan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) akan dikurangkan secara berperingkat.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata senarai aktiviti berkenaan mula dilarang ketika kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Sangat jelas itu aktiviti yang masih tidak dibenarkan dalam PKPP setakat hari ini. Insya-Allah senarai terlarang itu akan berkurang. Kalau dilihat sebelum PKPB, senarainya panjang, tapi sekarang (PKPP) berkurangan dan ia akan beransur negatif.

“Tapi setakat hari ini, senarainya tetap kekal,” katanya pada sidang media harian PKPP di Putrajaya yang disiarkan secara langsung, hari ini.

Sektor perniagaan dan aktiviti yang masih dilarang dalam tempoh PKPP setakat ini adalah operasi pub dan kelab malam; pusat hiburan, refleksologi dan karaoke; taman tema; perarakan keagamaan; kenduri-kendara; rumah terbuka; sukan bersentuhan; sukan renang, ragbi, bola sepak, hoki dan lain-lain; melancong ke luar negara dan perhimpunan orang ramai.

Dalam pada itu, Ismail Sabri menegaskan AKTA Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) adalah terpakai untuk semua negeri kecuali Sarawak yang mempunyai aktanya sendiri.

Beliau berkata, oleh itu negeri lain tidak ada pilihan selain turut melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) setelah kerajaan Persekutuan mengumumkan pelaksanaannya dengan peraturan yang diwartakan mulai 10 Jun hingga 31 Ogos depan.

“Negeri-negeri lain kecuali Sarawak sudah tidak ada akta kawalan penyakit berjangkit, maka rujukan untuk negeri-negeri berkenaan adalah satu akta sahaja iaitu Akta 342.

“Negeri tidak boleh buat peraturan lain kerana dalam Perlembagaan Persekutuan mana-mana akta atau peraturan negeri yang bertentangan dengan akta kerajaan Persekutuan adalah ultra vires terbatal dengan sendiri dan tidak boleh dilaksanakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow bahawa kerajaan negeri akan meneliti keputusan serta ketetapan PKPP terlebih dahulu dalam mesyuarat Jawatankuasa Khas Keselamatan Negeri Pulau Pinang sebelum melaksanakannya.

Ismail Sabri berkata, peraturan yang diwartakan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) akan terbatal pada 9 Jun kerana ada langkah kawalan baharu yang diwartakan di bawah PKPP yang berkuat kuasa pada 10 Jun.

“Jadi dia (Ketua Menteri Pulau Pinang) hendak ikut yang mana? Tentulah dia terpaksa ikut PKPP yang diwartakan.

“Kalau pun kerajaan negeri Pulau Pinang tidak mahu melaksanakan penguatkuasaan (PKPP), pegawai-pegawai di peringkat persekutuan seperti polis dan sebagainya boleh mengambil tindakan undang-undang kalau berlaku kegagalan mematuhi prosedur operasi standard (SOP),” katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap kerajaan negeri terutamanya Pulau Pinang supaya dapat mengguna pakai Akta 342.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.