Gandingan Anwar-Mahathir tak mampu tewaskan PN

3,587

10 JUN: Pakatan Harapan (PH) sedar bahawa parti itu  sukar untuk menang pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang, namun tetap mencari ruang dan peluang untuk terus mencabar kedudukan Perikatan Nasional (PN) sebagai pemerintah yang masih lagi dianggap mentah dalam dunia politik.

Namun, Penganalisis Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Salawati Mat Basir berkata usaha tersebut hanya menjadi sia-sia kerana walaupun PN masih baru, tapi ia sebuah parti yang dilihat konsisten dalam menyelesaikan masalah rakyat.

“PN berada dalam kedudukan stabil sekarang, walaupun ramai memperlihat yang parti gabungan itu mempunyai masalah dalaman dan dianggap bergolak, tapi mereka berjaya atasi masalah rakyat. Itu perkara utama.

“Dan perkara utama itu menjadi kesukaran PH untuk merampas kedudukan tersebut kerana rakyat percaya dengan pentadbiran di bawah Tan Sri Muhyiddin.

“Setakat ini saya masih tidak nampak ada cara yang boleh menewaskan PN kerana jika mandat diberi kepada rakyat, sudah tentu PH bukan pilihan mereka. Melainkan jika Tun Mahathir mempunyai bilangan majoriti untuk menjatuhkan Tan Sri Muhyiddin, ia akhirnya akan menyebabkan pembubaran parlimen juga, jadi mana jalannya untuk PH?” soalnya kepada PNBBC Portal.

Tambah Salawati, rasa hilang kepercayaan rakyat terhadap PH sebagai pentadbir pada PRU Ke-14 lalu juga antara punca kekalahan parti itu pada PRU ke-15 nanti.

“Mungkin dulu simptom kemarahan rakyat terhadap BN membuak-buak, rakyat rasa ditipu dengan pimpinan lama, membuatkan mereka ingin mencuba pentadbiran baru di bawah PH.

“Pelbagai janji dan manifesto dilemparkan pada rakyat. Pada waktu itu kita semua tahu setiap kata-kata yang dikeluarkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, tiada lagi orang percaya.

“Maka reformasi itu berlaku, sebaik sahaja PH naik menjadi pemerintah, rakyat melihat pula kegagalan mereka (PH) yang tidak menunaikan janji apatah lagi tiada sumbangan yang diberi kepada negara. Diberitahu tentang hutang negara akibat kerakusan BN.

“Namun apabila PN memerintah, elok sahaja rakyat menerima pelbagai bantuan dan insentif sewaktu Covid-19. Jadi pembohongan mereka ini jelas ketara yang menyebabkan ia turut bakal menjadi punca kekalahan pada PRU nanti,” ujarnya.

Mengulas lanjut Salawati turut berkata pergolakan dalaman PH melibatkan Tun Mahathir Mohamad dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang merebut jawatan Perdana Menteri juga membuatkan rakyat muak dan tidak mahu terlibat dalam kancah politik dalaman yang akhirnya akan menyusahkan rakyat.

“Rakyat pun tahu, dah pilih PH sebagai pemerintah, masalah takkan selesai, siapa pula jadi Perdana Menteri? Ini isu besar yang harus di selesaikan. Meskipun ada kesatuan di antara 2 pemimpin ini, yakinkah kita semua yang politik PH mampu memberi kestabilan pada rakyat selepas ini seperti yang dilakukan PN?

“Belum tentu,” katanya lagi. – Oleh ASLINDA NASIR

Get real time updates directly on you device, subscribe now.