Muhyiddin menghadap Agong untuk Mesyuarat Pra-Kabinet

154

10 JUN: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menerima menghadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk Mesyuarat Pra-Kabinet di Istana Negara, hari ini.

Memetik kenyataan dalam laman Facebook rasmi Istana Negara, sesi yang berlangsung selama 1 jam 15 minit dari pukul 8.30 pagi, diadakan secara bersemuka susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang berkuat kuasa hari ini hingga 31 Ogos.

Kali pertama Mesyuarat Pra-Kabinet antara kedua-dua pemimpin dan berlangsung secara bersemuka adalah pada 18 Mac lalu di Istana Melawati, Putrajaya selepas istiadat mengangkat sumpah jawatan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri pada 1 Mac dan diikuti dengan istiadat mengangkat sumpah jawatan Menteri-menteri Kabinet pada 10 Mac.

Mesyuarat Pra-Kabinet berikutnya telah berlangsung pada 15 April lalu setelah Al-Sultan Abdullah dan Raja Permaisuri Agong,Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah serta keluarga diraja menjalani kuarantin diri selama 14 hari di Istana Negara bermula 25 Mac atas nasihat Kementerian Kesihatan berikutan beberapa kes positif Covid-19 yang melibatkan kakitangan Istana Negara.

Sesi tersebut julung-julung kalinya diadakan menerusi sidang video berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk mengekang penularan wabak COVID-19.

Sesi-sesi berikutnya turut berlangsung menerusi sidang video berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan sesi kali terakhir menerusi sidang video diadakan minggu lepas, pada 4 Jun lalu.

Mesyuarat Pra-Kabinet adalah antara aktiviti mingguan atau rutin utama Seri Paduka untuk berbincang dan bertukar pendapat bersama Perdana Menteri berkenaan urusan dan isu-isu berkaitan kerajaan. – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.